Tuesday, April 23, 2013

Warna-warni musim bunga


WARNA-WARNA asas melatari koleksi Timberland.


KEDATANGAN musim bunga dirai dengan simbahan rona-rona terang dan polos bersempena Minggu Fesyen Suria KLCC yang diadakan di pusat beli-belah itu, baru-baru ini.
Beberapa jenama mempamerkan keindahan busana dan aksesori yang mengambil inspirasi keceriaan dan keindahan flora dengan padanan aksesori tona senada.
Jenama dari London, England iaitu Ted Baker mengabungkan rona terang dan cetakan berani dengan menggunakan fabrik ringkas. Gaun Maxi direka dengan penataan cetakan bunga orkid bagi menyerlahkan sisi elegan wanita moden. Koleksi lelaki pula cuba lari daripada imej remaja dengan memberi penekanan kepada ciri maskulin dan berkerjaya.
Bagi mereka yang mementingkan keselesaan ketika cuaca panas, Timberland menerusi koleksi baharu musim bunga menyediakan persalinan daripada material seratus peratus kapas organik. Ia dapat menyerap peluh selain mudah untuk dibasuh dan lembut ketika dipakai. Prinsip Timberland yang mendahulukan fabrik bermutu tinggi, banyak menggunakan warna-warna ceria pada beberapa helaian koleksi termasuk baju-T polo untuk jejaka dan seluar khakis rona polos untuk wanita.
Usah gusar untuk memilih pakaian formal untuk ke pejabat atau bergaya segak ke acara makan malam, jenama aksesori Braun Buffel dan busana G2000 memberi ilham menerusi beberapa seleksi koleksi musim bunga. Lengkapkan persalinan formal dengan sut jenama G2000 yang bersesuaian dengan bentuk tubuh, tampil berbeza dengan memakai bow-tie rona senada. Buat si gadis, sarungkan tubuh dengan skirt pendek rona gelap untuk tampak elegan dan eksklusif.
Kekal cantik walau melangkah keluar untuk bersantai bersama teman dan keluarga. Dres panjang warna ungu gelap untuk wanita mengandung daripada jenama Annee Matthews nampak kasual dengan padanan sandal kegemaran. Biar ringkas namun masih bijak bergaya dengan penataan warna dan potongan ringkas.
Anak-anak kecil juga perlu digayakan dengan baju-baju sesuai dengan lingkaran umur mereka. Jenama pakaian kanak-kanak, Poney, mengekalkan ciri-ciri keriangan dan gaya comel melalui pilihan warna lembut dan fabrik ringan. Rona klise anak perempuan seperti merah jambu dan putih tambah menarik dengan rekaan gaun tutu yang comel.
Sebanyak 17 jenama mengambil bahagian dalam pertunjukan tersebut, termasuk jenama seperti Nine West, Steve Madden, Jelly Bunny dan Havaianas.
Menurut Pengurus Perhubungan Awan dan Komunikasi Suria KLCC, Fartini Zaharuddin, Minggu Fesyen itu bertujuan untuk memberi inspirasi kepada pengunjung agar mereka sentiasa tampil segar, anggun dan mengikut peredaran masa.
“Kami berharap para pengunjung dapat mencari sesuatu yang bersesuaian dengan perwatakan dan personaliti mereka melalui 380 jenama tempatan dan antarabangsa yang terdapat di sini,” ujarnya kepada media.

No comments:

Post a Comment