Sunday, April 21, 2013

Jadual si ibu ligat

SAZZY FALAK berterima kasih dengan kewujudan kalendar Google yang menyenangkan kerjanya.


DUA orang ibu ini persis anak remaja. Daripada sudut berfesyen, bentuk badan dan celoteh, mereka kelihatan seperti remaja lepasan universiti. Segar dan tampak muda.
Aishah Sinclair dan Sazzy Falak, dua figura yang kini pengusaha fesyen tampil di acara peragaan fesyen tiga sahabat baik mereka, Daphne Iking, Atilia dan Yasmin Hani pada hari Khamis lalu.
Memperagakan baju jenama Bajookoo yang dikenakan dengan aksesori Kyla Ruiz, dua pengacara yang juga pengasas syarikat Sinclair-Falak ini tampil manis dalam persalinan santai.
Walaupun turut menggerakkan syarikat dalam bidang fesyen, namun sikap setiakawan membuatkan mereka saling memberikan sokongan padu. Sazzy muncul dengan rangkaian Street Fashion by Sazzy Falak yang mengetengahkan fesyen jalanan dan kombinasi gaya muda-mudi masa kini. Aishah pula bergerak dengan Bhumi Batik yang lebih ke arah tradisional.
Dua sahabat baik ini berkongsi cerita tentang fesyen, pembahagian masa dan perubahan mereka dalam berfesyen.
Bagaimana dengan bisnes fesyen kalian?
SAZZY FALAK (SF): Syukur kerana saya akan ke Plitzs New York Fashion Week pada 7 dan 8 September ini. Pihak di sana sudah meluluskan rekaan saya yang menampilkan batik. Saya membawa fesyen yang berteraskan batik namun sesuai dengan gaya street fashion.
AISHAH SINCLAIR (AS): Okey, namun saya akan berubah arah kelak. Buat masa sekarang saya akan menghabiskan stok Bhumi Batik dan akan keluar dengan stok baharu pada hari raya kelak. Saya akan muncul dengan sebuah perniagaan baharu berteraskan kebajikan. Ia berkaitan dengan industri pemakanan dan tujuan saya ialah untuk sesuatu yang melibatkan makanan dan masalah kelaparan.
Apakah kepentingan untuk kalian memasuki industri fesyen?
SF: Sudah lama saya mahu terlibat dalam dunia fesyen. Sewaktu mengandung, saya selalu membuat dan meneliti pembelian secara online. Saya sedar ramai yang sukakan online termasuk diri saya. Setelah melakukan beberapa penyelidikan, saya memulakan bisnes saya pada Januari lalu.
AS: Saya rasa sebagai artis, fesyen ialah sesuatu yang semula jadi dengan mereka. Selebriti sering menjadi ilham dan pembawa sesuatu rekaan baju. Mereka bereksplorasi dengan stail dan trend. Jadi apabila seseorang selebriti memasuki dunia fesyen, ia sesuatu yang berkaitan. Selain membawakan rekaan orang lain, ada juga baiknya memakai baju jenama sendiri.
BERGELAR ibu dan sibuk dengan tugasan sebagai ibu, usahawan dan pengacara, Aishah memastikan dirinya tidak hilang identiti sebenar.


Bagaimana melihat perkembangan fesyen tempatan?
SF: Saya melihat pereka tempatan mendapat banyak platform. Industri fesyen tempatan bukan hanya melibatkan kreativiti tetapi juga berkaitan dengan kuasa pasaran. Itu yang saya pelajari sewaktu di Amerika Syarikat untuk mengikuti forum tentang media sosial di sana. Saya juga berkesempatan bertemu dengan beberapa nama besar dalam perusahaan dan mendapat banyak tip positif daripada mereka.
AS: Sesi karpet merah sudah cukup untuk menunjukkan bahawa industri fesyen kita sedang berkembang. Setiap pereka fesyen memilih stail yang tersendiri dan tahu kemahuan masing-masing. Saya juga melihat mereka sudah faham dengan konsep less is more yang menunjukkan sisi elegan pakaian dan pemakainya. Ia sesuatu yang sangat memberangsangkan. Mereka juga berani mengambil risiko dan mencuba sesuatu yang berbeza. Fesyen ialah sesuatu yang berkaitan dengan keberanian.
Sibuk dengan pelbagai tugasan, bagaimana kalian membahagikan masa sebagai anak seni, ibu, usahawan dan aktiviti harian?
SF: Saya sangat berterima kasih kepada kalendar Google yang memudahkan saya menyusun jadual. Setelah bergelar ibu, saya bangun lebih awal. Saya akan membalas e-mel pada pukul 5 pagi kalau perlu. Sebagai anak seni, saya masih 100 peratus dalam bidang ini dan yang penting sebenarnya ialah pengurusan masa. Saya belajar tentang keutamaan dalam jadual hidup dan tidak perlu ada alasan untuk melakukan sesuatu.
AS: Kebelakangan ini, jadual saya tidaklah begitu padat. selalunya saya akan sibuk di waktu pagi dan lapang pada waktu petang. Saya sangat hormat dan kagum dengan wanita bekerjaya kerana mereka mampu pulang dan menguruskan rumah tangga dan anak-anak. Selalunya saya akan memastikan bahawa saya akan ada masa berkualiti dengan anak saya, Soraya Ann.
Ada perubahan dan kekangan dalam berfesyen setelah bergelar ibu?
SF: Kalau ada halangan, saya akan ke gim untuk memastikan bahawa diri saya cergas. Setelah bergelar ibu saya lebih kerap ke gim dan suami saya juga merupakan rakan regu saya dalam bersukan. Tiada alasan untuk tidak melakukan semuanya. Bagi saya, dalam berfesyen kita perlu sentiasa cergas. Sebagai individu yang sering tampil di kaca televisyen, saya perlu cergas dan saya gunakan itu sebagai kelebihan. Saya juga berpakaian seperti saya masih di usia 20-an.
Kalau sebut tentang perubahan, tiada yang ketara. Saya tidak takut untuk mencuba dalam berfesyen. Saya jenis suka cabaran dan tidak takut dengan kesalahan. Sekurang-kurangnya saya mencuba.
AS: Dalam sudut fesyen, saya sedikit konservatif. Saya akan pastikan baju saya tidak terdedah sewaktu mengangkat anak. Dua perkara yang saya perasan perubahan ialah kasut dan beg. Beg saya mestilah bersilang dan kasut mesti rata. Saya pastikan diri rajin berfesyen dan tidak hilang identiti walau pun sudah bergelar ibu.

AISHAH (kiri) dan Sazzy (dua dari kiri) hadir di majlis pertunjukan fesyen Bajookoo dan Kyla Ruiz yang berlangsung di Resoran Serai, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.


Anak-anak mengikut selera fesyen kalian?
SF: Anak-anak saya suka mengikut saya memakai rantai. Mereka akan tiru apa yang saya suka pakai terutamanya Iman. Mereka sudah pandai memilih baju sendiri. Saya jarang pakaikan mereka baju yang sama walaupun mereka kembar.
AS: Saya suka pakai rantai panjang dan dres labuh. Soraya gemar meniru gaya itu.
Berbanding waktu solo, bagaimana dengan masa untuk bersiap sekarang?
SF: Dahulu memang ambil masa untuk bersiap sebelum keluar. Sekarang saya akan rancang baju yang hendak dipakai pada malam sebelumnya. Saya juga bersyukur kerana mempunyai pasukan sendiri. Pembantu peribadi, Jaja yang akan memadankan pemakaian saya. Alhamdulillah, Jaja banyak membantu membuatkan saya bagai diawet seperti berumur 20-an.
AS: Dahulu tidak lah lama sangat, selalunya dalam setengah jam. Kini kalau keluar bukan atas dasar kerja, saya akan pastikan saya memakai solekan yang asas.
Orang selalu menyatakan bahawa kecantikan itu datang dari dalam, apa interpretasi kalian terhadap kata-kata tersebut?
SF: Pepatah tersebut memang tepat. Kadangkala kita boleh berasakan seseorang itu baik dan cantik kerana dia mempunyai aura tersebut. Paling penting ialah kejujuran. Ada yang kita lihat dia kurang menarik daripada segi luaran namun kita tertarik dengan individu tersebut kerana dia mempunyai hati dan aura yang baik. Saya percaya, perkara yang baik akan datang kepada orang yang baik.
AS: Benar. Kita pasti pernah terjumpa orang yang cantik tetapi kerana sikapnya, kita rasa dia sudah tidak secantik berbanding wajahnya. Ini semua kerana sikap. Bagi saya, kita perlu mempunyai hati yang baik. Ia akan memaparkan diri kita yang sebenarnya secara dalaman dan luaran.

No comments:

Post a Comment