Sunday, April 21, 2013

Eksklusif Wings Rockestra


BERGABUNG. Dari kiri: Joe, Ian Antono, Awie, Hillary Ang, Eddie dan Black.


KURANG tempoh seminggu, Wings akan kembali menghangatkan pentas Istana Budaya yang pernah mereka tawan sebelum ini. Bermula 26 hingga 30 April ini, memakai label Wings Rockestra, Wings sekali lagi bakal memuntahkan segala kepakaran dan untaian lagu terbaik mereka.
Wings Rockestra masih lagi akan diiringi oleh 43 orang pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan yang dipimpin oleh Mustafa Fuzer.
Hanya pada kali ini, ujar si pemain gitar yang juga merupakan penggerak utama konsert tersebut, Joe, mewakili grup legenda itu memberitahu bahawa Wings tidak akan mengulang main lagu-lagu yang telah dipersembahkan dalam konsert sulung mereka dahulu.
Kali ini, Wings akan memainkan beberapa lagu yang cukup dekat dalam kalangan peminat tegar mereka, tetapi tidak pernah dimainkan dalam konsert-konsert sebelum ini.
"Boleh dikatakan, kami merombak hampir semua pemilihan lagu yang akan dimainkan pada kali ini. Ini kerana kami mempunyai banyak lagi katalog lagu yang peminat suka, tapi belum sempat dimainkan dalam konsert-konsert sebelum ini.
"Antara lagu yang akan kami mainkan seperti Harapan, Pengabdian Kekasih dan Amuk. Bagaimanapun kami tetap akan mengekalkan lagu seperti Taman Rashidah Utama kerana ia sudah menjadi satu kebiasaan untuk dimainkan Wings," ujar Joe dalam sidang media kedua Wings Rockestra di Istana Budaya, baru-baru ini.
Selain menukar pemilihan lagu, Wings turut mengubah sedikit haluan konsert pada kali ini. Mempunyai tiga segmen, salah satu daripadanya akan menyaksikan Wings berkolaborasi dengan dua pemain gitar legenda.
Pemain gitar Search, Hillary Ang dan Ian Antono, pemain gitar God Bless yang diterbangkan khas dari Indonesia akan menjadi 'pemercik api' konsert pada malam itu nanti.
Bercakap tentang kesudian menerima lamaran Wings untuk bermain tiga buah lagu bersama grup tersebut, Ian memberitahu, sebagai seorang pemuzik, dia menyokong semua jenis muzik biar berbeza budaya dan agama.
Malah, dia yang akan bermain dalam satu segmen dengan durasi 20 minit memberitahu: "Secara jujurnya, saya baru kenal muzik Wings, namun berasa muzik mereka bagus. Kini, saya giat menjalani latihan agar dapat memainkan muzik mereka dengan baik."
Sementara itu, bercakap mengenai pilihan alternatif untuk peminat Wings yang barangkali tidak dapat menyaksikan konsert mereka seperti boleh memiliki video yang dirakam pada konsert tersebut kelak, Joe menegaskan, Wings Rockestra tidak akan dirakamkan dan dijual.
"Kami tidak akan merakamkan sebarang video pada konsert ini untuk dijual. Ini kerana kami mahu menyimpan nilai eksklusif konsert ini hanya untuk peminat yang datang ke Istana Budaya.
"Ia juga sebagai tanda Wings menghargai peminat yang sudi membeli tiket menyaksikan persembahan ini," ujar Joe.
Sementara itu, berita baik buat peminat Wings apabila tiket-tiket yang dijual pada harga bermula RM69 hingga RM499 kini boleh dibeli dengan potongan harga sebanyak 20 peratus. Tiket boleh didapati di http://www.ticket2u.biz.

No comments:

Post a Comment