Sunday, April 21, 2013

Suami tak halang Amy aktif

BARU muncul dengan single, Tapi Itu Dulu, Amy bakal muncul di pentas teater, Nyonya & The Gang di Istana Budaya.


PADA usia yang sudah mencecah 40-an, pembabitan penyanyi dan pelakon Amy Mastura masih lagi diterima ramai. Status sebagai ibu kepada dua cahaya mata langsung bukan penghalang buat dirinya meneruskan karier seninya.
Amy yang ditemui semasa majlis pelancaran teater Nyonya & The Gang pada minggu lalu menyatakan, dia tidak menyangka bahawa masih banyak lagi pihak yang memberi kepercayaan kepadanya untuk berlakon dan mengadakan persembahan nyanyian.
Menurutnya, sebagai ibu juga ia sepatutnya tidak menjadi penghalang untuk meneruskan bidang yang diminati, asalkan perlu bijak membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya.
Selain itu, Amy yang pernah popular menerusi lagu Meniti Hari menyatakan apa yang lebih penting adalah pembabitannya dalam bidang seni masih lagi mendapat restu suami tercinta, Alvin Tham Suffian.
Kosmo!: Boleh ceritakan tentang perkembangan terbaharu kerjaya Amy sekarang?
AMY: Saya sangat gembira kerana pada usia yang bakal mencecah 42 tahun bulan depan (Mei), saya masih lagi diberi peluang untuk terus berlakon dan menyanyi.
Yang terbaharu, saya bakal tampil dengan sebuah teater Nyonya & The Gang yang akan dipentaskan pada 14 hingga 20 Jun ini. Ia merupakan teater dewasa saya yang pertama setelah beberapa kali muncul dalam teater kanak-kanak sebelum ini.
Memandangkan Amy mempunyai dua orang anak yang sedang membesar, adakah suami tidak kisah apabila Amy terus aktif dalam bidang seni?
Setakat ini suami langsung tidak menghalang sebarang kegiatan seni saya. Lagipun dia cukup memahami bahawa nyanyian dan lakonan merupakan bidang yang cukup saya minati, asalkan saya tidak mengabaikan keluarga.
Bagaimanapun, ia tidak bermakna saya perlu terlalu fokus kepada kerjaya kerana saya ada tanggungjawab yang lebih besar iaitu memberi sepenuh perhatian terhadap kedua-dua anak saya iaitu Adriana, 12, dan Adilia yang kini sudah berusia lapan tahun.
Adakah Amy memberikan galakan sekiranya anak-anak berminat mengikut jejak langkah Amy?
Antara kedua-dua anak saya itu, rasanya Adilia lebih menunjukkan minat untuk menjadi seorang pelakon berbanding kakaknya. Namun begitu, saya tidak menghalang sekiranya mereka mahu terbabit dalam bidang seni dan sebagai ibu saya akan menyokong apa sahaja yang mereka minat.
Pada masa ini Amy dilihat lebih menyerlah dalam bidang lakonan, sedangkan Amy terlebih dulu mencipta nama sebagai penyanyi. Adakah Amy mahu memberi lebih fokus kepada lakonan sahaja?
Biarpun orang melihat kerjaya seni lebih terarah kepada lakonan, kerjaya nyanyian masih lagi diteruskan. Saya baru sahaja tampil dengan single terbaharu berjudul Tapi Itu Dulu.
Berkenaan dengan pembikinan album baharu pula rasanya masih lagi belum sesuai berdasarkan kepada keadaan sekarang. Mungkin saya akan keluarkan album kompilasi dulu dan akan diselitkan dengan single saya itu.
Apakah yang membuatkan Amy mahu terus aktif dalam dunia seni, sedangkan semakin ramai artis baru yang muncul sekarang?
Pembabitan saya dalam dunia seni ini bukanlah mahu bersaing dengan sesiapa, sebaliknya apa yang saya lakukan ini semuanya berdasarkan kepada minat dan keseronokan.
Misalnya, sebelum menerima sesuatu tawaran lakonan itu saya akan menilai terlebih dulu seperti skrip dan jalan cerita. Mengenai watak pula saya tidak kisah bawa apa sahaja watak, asalkan saya berasa seronok untuk melakonkannya.

No comments:

Post a Comment