Saturday, April 20, 2013

157 maut gempa bumi di China

BEBERAPA orang berehat di luar rumah yang hampir runtuh akibat gempa bumi kuat di Kampung Longmen, Sichuan, China semalam.


BEIJING - Gempa bumi kuat melanda wilayah Sichuan di barat laut China menyebabkan 157 orang mati dan lebih 5,00 lagi cedera semalam.
Pada 12 Mei 2008, gempa bumi kuat dengan skala 7.9 Richter melanda wilayah yang sama sehingga menyebabkan lebih 90,000 orang mati.
Menurut agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa bumi terbaharu itu sekuat 6.6 pada skala Richter dengan kedalaman 12 kilometer dekat bandar Ya'an, daerah Lushan di wilayah Sichuan.
Gegaran gempa bumi itu dapat dirasai oleh penduduk di bandar Chengdu yang merupakan ibu negeri Sichuan menyebabkan orang ramai bergegas keluar dari beberapa buah bangunan.
Agensi berita Xinhua melaporkan, seramai 6,000 askar dihantar ke kawasan yang dilanda bencana.
Kebanyakan kematian berlaku di daerah Lushan yang turut menyebabkan bekalan elektrik dan air terputus akibat gempa bumi tersebut yang berlaku pada pukul 8.02 pagi waktu tempatan.
Ketika gempa bumi berlaku, kebanyakan penduduk masih berada di rumah, tidur dan bersarapan pagi.
Sebahagian penduduk berlari keluar dari rumah dengan hanya memakai seluar dalam dan selimut ketika berlari ke jalan raya.
Pihak berkuasa menyatakan, hampir keseluruhan bangunan di Kampung Longmen musnah akibat gempa bumi itu.

No comments:

Post a Comment