Saturday, April 20, 2013

Nasi kandar di One World


NASI kandar sememangnya terkenal dengan kekuatan rasa dan aroma menerusi penggunaan pelbagai jenis rempah-ratus.


NASI kandar yang popular di Pulau Pinang mula diperkenalkan oleh komuniti India Muslim di sana. Nama hidangan tersebut berasal daripada dua bekas nasi dan lauk yang digantung menggunakan kayu yang dipanggil kandar.
Walaupun gaya hidangannya sudah berubah, namanya masih kekal digunakan sehingga kini, malah mudah dijumpai di kebanyakan restoran Mamak di seluruh negara.
Kini, resipi nasi kandar sudah diperbaharui dengan pelbagai hidangan sampingan yang menarik seperti variasi pilihan kari mengikut selera pelanggan.
Bagi penggemar resipi autentik nasi kandar, anda pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati hidangan tersebut di Cinnamon Coffee House.
Restoran di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor itu menyediakan sembilan jenis lauk bagi nasi kandar.

ACAR buah antara sajian yang harus dicuba.


Antaranya ialah acar rampai, sup ayam berempah, sambal udang, ayam beriani, rendang kambing, telur ikan goreng, kari kepala ikan dan sayur campuran kunyit.
Tatkala menjamu selera dengan menu rendang yang dihidangkan, pengunjung pasti terimbau kenangan pada pagi Lebaran kerana sajian yang disediakan pasti memenuhi cita rasa pelanggan.
Selain itu, kuih-muih tradisional seperti kuih lapis, pulut panggang, pulut tai tai, talam keladi dan potongan buah-buahan turut dihidangkan menjadi pelengkap hidangan makan malam.
Pasti belum ramai yang pernah merasa keenakan pulut tai tai kerana ia jarang ditemui. Di Cinnamon Coffee House pengunjung berpeluang merasa sendiri kelazatan pulut berwarna kebiruan itu kerana rasanya yang berlemak dan manis.

JANGAN lepaskan peluang merasai pesta sajian nasi kandar sepanjang April ini di Cinnamon Coffee House.


Konsep hidangan adalah ala buffet pada harga RM47 bagi kanak-kanak yang berusia antara 4 hingga 12 tahun, manakala RM93 bagi orang dewasa.
Hidangan mula disajikan kepada pengunjung dari pukul 6.30 petang hingga 10.30 malam pada setiap hari.
Pengunjung boleh menghubungi Cinnamon Coffee House di talian 03-7681 1157 untuk membuat tempahan awal.

No comments:

Post a Comment