Sunday, April 21, 2013

Emma Maembong telan kontroversi



EMMA MAEMBONG pernah menetapkan hidupnya untuk berkarya melalui lukisan gara-gara terpengaruh dengan kerjaya bapanya sebagai seorang pelukis. Namun arus yang ditongkah membawa gadis berumur 21 tahun itu keluar dari hanya berkarya atas kanvas, berus dan warna.
Kini dia bermain dengan warna kehidupan, melengkapkan kemahuan pengarah, menggalas watak dan menjadi individu lain dalam setiap karya yang disertai. Jauh di sudut hatinya, Emma masih seorang pelukis yang memberi warna atas kanvas seni.
"Semuanya juga bergantung kepada minat. Dahulu saya melukis bersama-sama bapa saya kerana minat tetapi kini mula dikenali sebagai pelakon juga kerana minat.
"Kalau diberi pilihan, saya pilih kedua-duanya. Jika tidak berlakon saya akan kembali kepada lukisan," katanya memulakan bicara pada pertemuan sulung bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.
Nama Emma sebagai pelakon segera meraih publisiti di sebalik portfolio kariernya yang baru setahun jagung. Produknya cuma ada dua. Drama pertama ialah Kau Yang Terindah manakala Cinta Itu Milikku pula menjadi drama kedua iaitu menampilkan Emma sebagai Rania.
"Saya masih terlalu baharu. Belum sampai setahun pun saya berlakon. Bulan Mei nanti barulah genap setahun saya serius bergelar pelakon.
"Selama ini semua orang hanya kenal dan lihat saya menerusi dua drama sahaja. Asalnya saya sekadar mencuba dan sampai hari ini sebenarnya saya sendiri masih terkejut dengan perhatian yang diterima," tuturnya.
Di sebalik kilau glamor yang diraih, peluang yang datang hari ini masih sebuah mimpi buatnya.
"Sebenarnya saya masih terkejut kerana naik mendadak. Saya sangat bersyukur dan mulai sedar, tugas saya sekarang ialah meneruskan kepercayaan yang peroleh. Cuma yang tidak menariknya sebab naik kerana kontroversi dan macam-macam gosip.
"Semasa mula-mula dahulu, saya jenis yang suka nak betulkan keadaan tapi sekarang saya sudah boleh biarkan sahaja cerita-cerita itu berlalu. Selagi keluarga, saudara-mara dan orang-orang terdekat dengan saya tahu perkara sebenar, saya sudah rasa lega," luah wanita berdarah Melayu-Scotland itu tentang dunia baharu yang menjadi rutin hidupnya.
EMMA bakal muncul dengan dua buah drama bersiri, Tiga Nenek Tiga Dara dan Kampung Girl.


Kontroversi berantai
Puas menjawab isu disiplin, gambar panas bersama bekas teman lelaki, seksi serta dicap suka berparti, rantaian kontroversi bersilih-ganti itu menyimbahkan populariti yang bukan sedikit ke wajah mulusnya.
"Saya tak minta semua gosip dan sensasi. Buat salah sikit, ia datang. Itu pakej yang harus saya telan. Jadi saya harus belajar daripada kesilapan. Sekarang saya sudah mampu senyum dengan setiap cerita buruk tentang saya," katanya yang agak beremosi lewat status akademiknya pula yang menjadi bahan diperkatakan ramai.
Kisah Emma yang hanya bersekolah sampai tingkatan dua menjadi satu isu besar buat segelintir pihak. Dia tidak sempat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) apatah lagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Sejak dari dahulu lagi saya tidak pernah berahsia tentang tahap akademik saya. Cuma dahulu cerita itu tidak diperbesarkan sebab ada isu lain. Sekarang mungkin sudah tiada cerita lain, tak mengapalah.
"Bagi saya sendiri, saya tak malu walaupun tiada SPM. Orang yang tidak berada di tempat saya pasti tidak tahu situasi sebenar. Saya juga tak salahkan sesiapa dalam hal itu, bahkan saya minta maaf terhadap ayah saya kalau-kalau isu itu ada menyentuh perasaannya. Alhamdulillah ayah saya okey, bahkan dia selalu menyokong minat saya," ujar Emma yang tinggal bersama ayahnya selepas lelaki itu bercerai dengan ibunya ketika dia masih kecil.
Mungkin kedengaran pelik bagi sesetengah pihak, tetapi bagi Emma dan adik-beradik yang tinggal bersamanya, kehadiran guru ke rumah untuk mengajar subjek-subjek asas seperti apa yang dipelajari di bangku sekolah ialah perkara normal buat mereka.
Tutup kisah akademik yang tidak perlu lagi dipanjangkan, Emma atau Fatimah Rohani Ismail ini tetap berbesar hati. Walaupun tiada SPM, dia kini sedang beroleh tempat dalam hati peminat sebagai pelakon.
"Siapa yang tak mahu belajar tinggi-tinggi tapi tahap akademik tak menyebabkan saya rasa rendah diri untuk berdepan orang luar. Tiada SPM juga tidak bermakna saya tidak boleh berjaya tapi sudah tentu saya tak boleh minta kerja di jabatan kerajaan. Kekurangan itu mungkin satu pelengkap untuk saya," jelas Emma yang sedang dikaitkan pula dengan gosip baharu konon-kononnya sedang bercinta pula dengan pelakon popular, Johan As'aari
EMMA MAEMBONG menyerlah dari segi populariti namun kerja lakonannya masih banyak yang belum disaksikan umum.


Heroin filem
Baru selesai penggambaran untuk beberapa drama bersiri antaranya Tiga Nenek Tiga Dara untuk RTM, Kampung Girl (TV3), pelakon yang bernaung di bawah syarikat pengurusan artis, Wire Fame Sdn. Bhd. itu dinasihatkan berehat seketika daripada drama televisyen.
Tujuannya untuk memberi laluan baharu kepada Emma yang kini disunting pula untuk bergelar heroin dalam filem terbaharu Mamat Khalid berjudul Werewolf Dari Bangladesh.
Emma akan melakonkan watak Cik Zainab Remunggay, seorang pengusaha warung makan yang juga adik kepada cik Tun Remunggay lakonan Rozita Che Wan. Oleh kerana kecantikan yang dimilikinya, Cik Zainab menjadi kegilaan tiga lelaki lakonan Usop Wilcha, Zizan Razak serta seorang warga Pakistan.
"Sebut sahaja filem Mamat Khalid orang akan buka mata, itu yang buat saya berdebar-debar. Berlakon pula dengan bos sendiri (Zizan). Saya rasa ini penghargaan buat saya sebab masuk sahaja ke filem pertama, saya muncul dalam filem Mamat.
"Saya tak berani nak janji apa-apa, yang saya tahu saya hanya mahu lakukan yang terbaik. Saya mahu jaga setiap kepercayaan dan sokongan yang telah saya perolehi selama ini. Kalau boleh saya mahu mengelak daripada terjebak dengan benda yang bukan-bukan," katanya terlibat dengan penggambaran filem arahan pengarah prolifik itu sehingga 9 Mei nanti.

No comments:

Post a Comment