Wednesday, April 24, 2013

FDAM Mohon Maaf, Akan Pulangkan Wang Aaron Aziz

Aaron Aziz
PETALING JAYA: Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM) akan memulangkan semula lebihan wang daripada pembayaran RM1,500 yang dibuat oleh pelakon Aaron Aziz untuk menjadi ahli persatuan itu selepas timbul salah faham berhubung taraf kerakyatannya di negara ini.
Presiden FDAM, Othman Hafsham, 72, berkata, jumlah amaun itu sepatutnya dibayar bagi mereka yang bukan warganegara Malaysia.
"Saya mewakili pihak FDAM memohon maaf atas kesilapan mengenai hal pembayaran yuran Aaron. Orang yang menjaga hal-hal itu mungkin tidak peka dengan status Aaron yang kini sudah mendapat taraf penduduk tetap di negara ini.
"Diharap Aaron dapat hadir ke pejabat kami untuk menerima semula baki wang yuran berkenaan.
"Bagaimanapun, saya cuba menghubungi Aaron sejak pagi tadi (Rabu), tetapi tidak berjawab," katanya yang dihubungi mStar Online pada Rabu.
Othman Hafsham
Beritahu Othman, sepatutnya, bagi warganegara Malaysia, yuran ahli yang dikenakan hanyalah RM300 sahaja manakala yang bukan warganegara perlu membayar RM1,000.
Menerusi laman Instagram milik Aaron pada Selasa lalu, dia memaparkan sekeping resit pembayaran selepas mendaftar sebagai ahli persatuan tersebut yang dilakukan pada 14 April lalu.
Aaron juga meluahkan rasa tidak puas hati dengan bayaran yang tinggi dikenakan terhadapnya.
Malah, Aaron juga terkilan apabila pihak FDAM tidak meneliti statusnya sebagai penduduk tetap negara ini selain menuduhnya sebagai pekerja asing yang tidak tahu peraturan selepas mendapat peluang mengarah filem Romeo Kota, terbitan Excellent Pictures tanpa menjadi ahli persatuan itu.
Resit pembayaran yang dibuat Aaron kepada FDAM.
Terdahulu, pihak FDAM mendakwa Aaron belum mendaftar sebagai ahli sewaktu memulakan pengarahannya sehingga menyebabkan pihak penguat kuasa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan FDAM menyerbu lokasi penggambaran filem itu pada 3 April lalu.
Sementara itu, penerbit Excellent Picture iaitu Ahmad Idham mengakui tentang kedudukan Aaron yang tidak menjadi ahli persatuan berkenaan ketika menawarkannya mengarah filem berkenaan.
Kata Idham, dia turut memohon maaf kerana tidak peka dengan perkara tersebut kerana beranggapan Aaron hanya boleh mendaftar selepas dia diberi peluang mengarah sebuah filem bagi tujuan rujukan pihak FDAM.
"Memang saya tahu Aaron bukan ahli FDAM sebelum ini dan saya mengambil dia sebagai pengarah atas penilaian saya terhadapnya yang begitu efisien dalam kerja.
Ahmad Idham
"Lagipun biasanya sebelum ini pihak FDAM mahu melihat profil pengarah yang mana mereka haruslah berpengalaman mengarahkan sekurang-kurangnya sebuah karya sebelum diberi kad ahli FDAM. .
"Maka saya menganggap Aaron juga akan mendaftar selepas menyiapkan penggambaran Romeo Kota. Tapi tak sangka pula ketika di set penggambaran, kami diserbu tanpa sebarang notis," ujarnya.
Tambah Idham, dia berharap perkara seperti ini tidak akan berulang lagi kerana ia sedikit sebanyak boleh mengganggu kerja-kerja produksi dan meminta mana-mana pihak persatuan seni negara ini peka sebelum bertindak.

No comments:

Post a Comment