Sunday, April 21, 2013

Tahun cipta nama

RAJA ILYA melihat tahun 2013 sebagai tahun dia memberi fokus terhadap kariernya.


NAMA Raja Ilya mula mencuri perhatian peminat tatkala kisah kontroversinya mula hangat di media cetak dan blog-blog hiburan sekitar dua tahun lalu.
Kisah dikatakan mahu membunuh diri akibat tertekan kerana putus tunang selepas gambar kontroversinya bersama seorang lelaki tersebar merupakan episod paling buruk buat Raja Ilya.
Akui pemilik nama sebenar Raja Ramilah Raja Muhammad, 28, itu, mungkin kerana sikapnya yang suka berterus terang menjadikannya makanan kepada dunia gosip hiburan tempatan.
"Saya jenis gadis yang lurus bendul. Apabila disoal media, semua perkara ingin dikongsikan. Ini termasuklah mengaku saya hampir membunuh diri dahulu," ujarnya yang bagaimanapun tidak menyalahkan pihak media atas kenyataan yang keluar sendiri daripada bibirnya itu.
Belajar daripada kesilapan lalu, ungkap Raja Ilya, kini dia lebih berhati-hati dalam memberi kenyataan dan berharap tahun ini merupakan tahun untuknya menyinarkan bakat lakonan sekali gus menutup segala kisah kontroversinya selama ini.
Disoal adakah kontroversi yang melanda dirinya selama ini hanya mendatangkan keburukan kepada dirinya sahaja, dedah Raja Ilya, kontroversi yang melanda seseorang artis itu juga ada kebaikannya kerana ia merupakan salah satu daripada caranya artis itu dikenali.
"Mana ada artis yang tidak pernah dilanda kontroversi. Bagi saya, kontroversi ini juga salah satu daripada caranya orang ramai mengenali artis tersebut. Mungkin juga ada peminat yang suka artis disebabkan kontroversi yang melanda diri artis tersebut," ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.
KERAP diberi watak antagonis, Raja Ilya tidak menolak, sebaliknya beranggapan ia sebagai rezekinya sebagai pelakon.


Nafi akan berkahwin
Jika sebelum ini Raja Ilya mengakui kecewa teruk selepas putus tunang, terbaharu, pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu dikhabarkan bakal berkahwin pada penghujung tahun ini.
Saat diajukan pertanyaan mengenai perkara itu (berkahwin), Raja Ilya lantas menepis dakwaan mengatakan dia bakal berkahwin.
Katanya: "Mana ada saya akan berkahwin. Saya masih solo dan tidak mempunyai kekasih sejak putus tunang dua tahun lalu.
"Tipu jika saya kata tiada yang cuba mendekati saya, tetapi pintu hati saya masih belum terbuka. Saya lebih senang hidup bersendirian buat masa ini", ujarnya.
Mengakui pengalaman lalu membuatkannya serik dan fobia menerima cinta daripada lelaki, ujar Raja Ilya, fokus utamanya kini adalah aktif dalam karier lakonan.
Raja Ilya juga menolak kenyataan mengatakan dia antilelaki. Ujarnya, pengalaman lalu hanya membuatkannya bimbang masalah yang sama akan berulang.
Begitupun, jelas Raja Ilya, jika ditakdirkan bertemu dengan seorang lelaki yang berjaya membuka pintu hatinya, dia tidak dapat menolak takdir tersebut.
"Mungkin saya tidak sesuai berada dalam perhubungan. Jadi buat masa sekarang, pendirian saya adalah masih ingin terus kekal solo. Tetapi jika ditakdirkan bertemu dengan seseorang saya terima," katanya.
Ditebak tidakkah dia berasa sunyi hidup bersendirian, ulas Raja Ilya, masanya banyak diisi dengan penggambaran drama dan filem. Ujarnya lagi, jika tiada penggambaran dia lebih senang menghabiskan masa di rumah melayan kerenah kucing-kucingnya yang kini melebihi 10 ekor.
Berwajah sombong
Mengulas lanjut, kata Raja Ilya, dia juga tidak mahu melepaskan peluang dan kepercayaan yang diberikan penerbit-penerbit yang menawarkannya berlakon.
Biarpun dilanda kontroversi, Raja Ilya bersyukur kerana tawaran berlakon tidak pernah putus.
"Saya tidak mahu mensia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan. Saya juga ingin menebus kembali apa yang telah saya lepaskan sebelum ini.
"Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Pilot Cafe bersama pelakon Fahrin Ahmad dan Neelofa. Dalam filem itu saya memegang watak salah seorang daripada kekasih Fahrin.
"Kini, saya sedang menjalani dua penggambaran drama untuk slot Samarinda iaitu Episod Cinta Kirana dan juga drama Dahlia untuk tayangan saluran Astro Mustika HD (saluran 134). Dalam kedua-dua drama tersebut saya memegang watak antagonis," jelasnya.
Mengulas mengenai kedua-dua watak antagonis yang dipegangnya, ujar Raja Ilya, dia tiada masalah untuk membezakan kedua-dua watak tersebut kerana jalan cerita kedua-dua drama itu adalah berlainan.

RAJA ILYA (dua dari kiri), bersama Hans Isaac (kiri), Dira Abu Zahar dab Faizal Hussein. Mereka membintangi drama berjudul Dahlia.


Menurut Raja Ilya, dalam drama Dahlia, watak antagonis yang dibawa memaparkan dirinya dari sudut yang elegan dan bergaya manakala dalam drama Episod Cinta Kirana pula dia membawa peranan sebagai model yang seksi.
Kerap menerima peranan antagonis, Raja Ilya mengakui berasa tidak selesa, tetapi akhirnya sedar sebagai seorang pelakon dia harus menerima apa jua tawaran yang diberikan.
Disoal kenapa dia sering ditawarkan watak antagonis, kata Raja Ilya, mungkin kerana raut wajahnya yang kelihatan sombong dan garang.
"Memang pada asalnya saya tidak selesa kerana kerap ditawarkan watak antagonis, tetapi bila sudah kerap dapat ia sudah sebati pula pada diri. Bidang lakonan juga merupakan periuk nasi saya, jadi kenapa saya harus menolak tawaran yang datang," ungkapnya.
Hipokrit
Mengenali sedikit sisi sebenar Raja Ilya, dia memberitahu, tidak suka berpakaian seksi dan lebih selesa mengenakan baju T ke mana sahaja.
"Saya tidak suka pakai kasut tinggi sebaliknya suka pakai selipar. Saya juga tidak suka pakai skirt atau pakaian seksi dan lebih selesa memakai baju T.
"Sebagai pelakon saya tidak perlu hipokrit mengenakan pakaian yang cantik-cantik sahaja ke mana sahaja. Saya cuma jadi diri sendiri," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Raja Ilya akan berangkat ke India untuk penggambaran filem berbahasa Tamil pertamanya berjudul Briyani.
Jelasnya, walaupun tidak mendapat watak utama tetapi ia adalah peluang terbaik untuk kerjayanya terus berkembang di Bollywood.

No comments:

Post a Comment