Tuesday, April 23, 2013

Inai serlah seri pengantin


KAUM India menggemari corak inai yang lebih kompleks.


PEMAKAIAN henna atau inai sudah menjadi kebiasaan kepada pengantin untuk menambah seri pada hari bahagia mereka. Ia diperbuat daripada daun-daun inai yang dilumatkan bersama beberapa bahan untuk menjadikan warna lebih terang dan tahan lama.
“Orang tua ada mengatakan, inai yang merah dan kekal lama melambangkan keharmonian perkahwinan. Ia sebenarnya bertujuan menambah kemeriahan majlis yang dihadiri saudara-mara,” ujar pemilik Aarthee’s Bridal & Beauty Academy, Kanaga Muniandy, 34, atau lebih dikenali sebagai Kasthuri ketika ditemui Stailo baru-baru ini.
Begitupun, semakin ramai memakai inai pada hari-hari biasa kerana ia mampu menjaga kesihatan kuku. Tambah Kasthuri, kuku akan lebih kuat dan cantik dengan menggunakan inai selain menguatkan rambut jika dipakai pada rambut.
Proses
Bagi menjadikan warna inai terang dan pekat, bahan seperti air limau dan minyak angin diletakkan ketika proses pembuatan.
“Ia bermula dengan mengeringkan daun-daun inai selama dua minggu atau lebih. Ia perlu kering secara semula jadi tanpa menggunakan peralatan elektronik.
“Selepas itu, inai akan digiling atau dikisar sehingga menjadi serbuk sebelum mencampurkannya dengan bahan-bahan tambahan untuk menjadikan warnanya terang.
“Inai yang dihasilkan secara tradisional boleh tahan selama satu bulan atau lebih bergantung kepada kepekatan darah seseorang,” jelasnya.
Selepas memakai inai, pengguna dinasihatkan untuk mengelak daripada memakai losen atau air secara berlebihan. Ia dikhuatiri akan memudarkan warna dalam tempoh yang singkat.

KANAGA (kiri) menunjukkan contoh rekaan kepada pelanggan sebelum melukis inai.


Proses pembuatan secara tradisional mengambil masa yang lama. Kebanyakan pengguna hari ini menggunakan inai yang dibeli secara paket di kedai-kedai runcit kerana ia lebih murah dan cepat digunakan.
“Jika ia dipakai pada hari istimewa seperti perkahwinan, pengguna dinasihatkan untuk mengupah orang yang berkelayakan kerana rekaan inai lebih kemas dan rapi,” ujarnya.
Pemakaian inai untuk majlis pengantin mengambil masa sehingga satu jam bergantung kepada rekaan yang dikehendaki oleh pengantin.
“Setiap orang mempunyai cita rasa berbeza. Sebagai contoh, pengantin Melayu suka rekaan yang bercirikan bunga-bungaan dan tidak terlalu sarat. Ia berbeza dengan orang India yang sukakan rekaan kompleks,” terang ibu kepada dua anak perempuan itu.
Tambahnya, warna inai tidak lagi terhad pada satu warna sahaja kerana ia mempunyai variasi warna seperti biru, hijau dan emas. Selain itu, pengantin juga meletakkan perhiasan tambahan seperti batu-batu permata atau emas bagi menampakkan kelainan.
Kasthuri yang mempunyai pengalaman hampir 10 tahun dalam rekaan inai turut mengadakan kursus untuk mereka yang berminat dalam dunia kecantikan dan perkahwinan kaum India.

No comments:

Post a Comment