Wednesday, April 24, 2013

Pembersihan sampah di dasar laut

PROGRAM pembersihan dasar laut itu disifatkan mencabar kerana perlu berdepan keadaan laut yang bergelora.


SIKAP sesetengah masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam laut sebenarnya mengancam habitat laut selain mencemarkan keindahan dasar laut.
Namun malangnya, masih ramai yang tidak menyedari perkara itu. Melihat senario tersebut, tidak mustahil pada satu hari nanti laut akan menjadi tempat untuk kita melupuskan sampah dan pelbagai sisa lain.
Mahu mendidik masyarakat mencintai alam semula jadi, Astro mengambil inisiatif menganjurkan program Astro Kasih Beautiful Malaysia. Program itu merupakan sebahagian tanggungjawab korporat sosial dalam menjalankan aktiviti berbentuk pemuliharaan alam sekitar.
Justeru, seramai 134 penyelam dari seluruh dunia termasuk Perancis, Australia, New Zealand, Belanda, Switzerland, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Malaysia mengambil bahagian dalam program berkenaan.
Mereka telah melakukan kerja-kerja pembersihan sampah dasar laut di 224 buah lokasi sekitar Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Cuaca tidak menentu
Lebih menarik, kerja-kerja pembersihan sampah berkenaan yang dilakukan lebih 168 jam tanpa henti itu turut melakar sejarah tersendiri apabila tercatat dalam Guinness World Records sebagai projek pembersihan dasar laut terpanjang di dunia iaitu sejauh 26 kilometer. Ia merupakan rekod pertama di dunia.
Seorang penyelam, Jolyn Gasper, 36, berkata, dia teruja kerana dapat menyertai program tersebut buat pertama kali.
“Ia satu pengalaman yang mencabar kerana terpaksa berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah kakitangan swasta itu, sepanjang melakukan kerja-kerja pembersihan sampah itu, dia tidak menyangka terdapat pelbagai jenis sampah.
“Kami berjaya memungut kayu reput, botol, plastik, kertas, tin dan besi. Apa yang pasti, sampah sarap itu bukan sahaja akan menjejaskan pembiakan hidupan laut tetapi merosakkan terumbu karang,” ujarnya.

PROGRAM pembersihan dasar laut diharapkan dapat mendidik masyarakat mencintai alam.


Pengalaman berharga
Pendapat Jolyn turut disokong kakitangan Astro, Norhisham Nordin, 42, yang menyifatkan sepanjang melakukan aktiviti-aktiviti menyelam, ia sangat mencabar.
“Bayangkan, ketika itu ribut dan laut bergelora. Jadi, kerja-kerja tersebut sukar dilakukan namun ia tidak menghalang kami untuk meneruskannya,”katanya.
Dalam pada itu, Norhisham rasa berbangga kerana dapat mengambil bahagian dan tidak akan melupakan pengalaman yang berharga tersebut.
“Saya juga amat gembira kerana dapat bertemu dan berkongsi pengalaman dengan penyelam tempatan dan antarabangsa,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan pula berkata, penganjuran program tersebut bertujuan untuk menunjukkan tanda komitmen kepada alam sekitar.
“Hasil daripada program ini, lebih daripada tiga tan sampah berjaya dikumpul termasuk botol, beg plastik, tali pancing, jala dan tayar.
“Ini satu perkara yang membanggakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk memelihara kehidupan laut,” katanya.
Terdahulu, Rohana menerima sijil daripada wakil Guinness World Records, Kirsty Bennet.
Bennet memberitahu, Astro Kasih dan pasukan penyelam sukarelawannya telah mencatatkan rekod dunia baharu dalam kerja-kerja pembersihan dasar laut yang terpanjang.
“Program ini sekali gus dapat menambah kesedaran dan menggalakkan penglibatan orang ramai secara langsung dalam pemuliharaan marin,” katanya.

No comments:

Post a Comment