Wednesday, April 24, 2013

Informasi terkini industri elektrik dan komputer



TAHUKAH anda, meter elektrik yang menunjukkan kadar penggunaan elektrik di rumah anda menggunakan sistem meter elektronik?
Meter tersebut merupakan pengganti kepada sistem meter elektromekanikal yang digunakan sejak penggunaan elektrik mula diperkenalkan di Malaysia.
Pertukaran meter elektromekanikal kepada elektronik mula diperkenal sejak tahun 2004. Walaupun meter elektronik menunjukkan bacaan meter yang lebih jitu, masih terdapat kediaman yang masih menggunakan sistem lama itu.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Vendor Krizik (Malaysia) Sdn. Bhd., Mohd. Nizam Razali, memberitahu, meter elektronik di kediaman mahupun kilang-kilang mempunyai jangka hayat lebih daripada 15 tahun.
“Selepas jangka hayat itu, meter elektronik masih menunjukkan bacaan yang tepat dan jitu tanpa sebarang kesalahan. Ia juga dapat mengelakkan penipuan dalam pengiraan bil elektrik bagi kediaman.
“Selain itu, analisis pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap meter elektromekanikal, bacaannya kurang tepat 20 hingga 30 peratus selepas jangka hayat 10 hingga 15 tahun,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada pameran ASEAN Elenex 2013 (AE 2013) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Krizik (Malaysia) Sdn. Bhd. (Krizik) merupakan salah sebuah syarikat yang menyertai pameran yang diadakan dua tahun sekali itu. AE 2013 disertai oleh 450 syarikat dari 30 buah negara yang mempamerkan inovasi dalam industri tenaga, elektrik dan sistem komputer.
Penyertaan syarikat tersebut dalam AE 2013 ternyata memberi informasi yang lengkap mengenai penggunaan meter elektrik di Malaysia. Krizik turut membawa sampel meter elektronik yang digunakan di rumah dan kilang-kilang.

PENGATURCARAAN komputer merupakan perkara asas dalam industri elektrik dalam mahupun luar negara.


“Krizik merupakan salah satu daripada empat vendor yang membekalkan meter elektronik kepada pihak TNB di Lembah Klang dan negeri-negeri Pantai Timur. Sehingga kini, hanya satu juta rakyat Malaysia yang telah menukar meter elektromekanikal kepada elektronik,” jelas Mohd Nizam.
Tambahnya lagi, sekiranya dahulu dengan hanya meletakkan magnet pada meter elektromekanikal, penghuni kediaman boleh menipu bacaan penggunaan elektrik di rumah mereka. Namun, dengan meter elektronik, terdapat fungsi merekod setiap penggunaan elektrik yang tepat setiap masa.
Pameran yang dihoskan oleh pihak TNB itu tidak hanya tertumpu kepada AE 2013 sahaja. Pameran perindustrian automasi 2013 (IA 2013) turut menjadi acara utama sepanjang empat hari majlis itu berlangsung.
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee turut hadir merasmikan majlis pelancaran AE 2013.
Dalam ucapan perasmiannya, Took Gee menyatakan bahawa pameran tersebut merupakan peluang terbaik untuk syarikat yang terlibat dalam industri kejuruteraan elektrik, penjanaan kuasa dan komputer untuk memperluaskan rangkaian serta bertukar-tukar idea atau pendapat.
Antara syarikat utama dalam industri elektrik dan teknologi komputer yang terlibat dalam pameran tersebut ialah ABB Malaysia, Alpha Automation, Komponen Elektrik Axis, TNB, Penghantaran dan Pembahagian Toshiba, United U-Li Corporation serta VSD Automation.
Tidak hanya menarik pengunjung dari dalam negara, AE 2013 turut menarik minat syarikat dari luar negara untuk melihat inovasi terbaharu di pameran itu.
Seorang pengurus industri kejuruteraan dari Taiwan, Min Han Tsai memberitahu, percutiannya di Kuala Lumpur ternyata membawa tuah kepadanya apabila turut berpeluang berkunjung ke pameran tersebut.
Menurut Han Tsai, tiada pameran spesifik di Taiwan yang menekankan hal ehwal industri elektrik di negara asalnya itu.
“Pameran ini memberi informasi yang jelas mengenai industri elektrik. Selain itu, kelengkapan elektrik yang dipamerkan juga boleh dikira terkini dalam pasaran dunia.
“Kelengkapan yang dipamerkan terutamanya daripada TNB juga memberi inspirasi kepada saya untuk mengekperimentasikan sistem yang digunakan di dalam projek elektrik saya apabila pulang ke Taiwan kelak,” ujarnya.

TOOK GEE (depan) sempat berkunjung ke kios-kios di AE 2013 selepas majlis perasmian pameran tersebut baru-baru ini.


Dengan penganjuran pameran AE 2013, ia merupakan sahutan kepada seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober tahun lalu. Seruan itu ialah mencapai objektif tenaga nasional sebanyak 5.5 peratus dalam sumber keperluan tenaga negara pada tahun 2015, lima tahun sebelum sasaran asal iaitu pada tahun 2020.
Sementara itu, seorang jurutera muda dari syarikat Toki Solution Sdn. Bhd., Muhammad Azlan Kamaruddin, 23, memberitahu, kunjungannya ke pameran itu bersama rakan sepejabatnya untuk melihat sistem komponen elektronik yang terbaharu di pasaran.
Selain itu, dia juga bertanggungjawab untuk membuat kajian mengenai pembekal kelengkapan elektronik seperti sistem pengawalan dan panel sesentuh untuk diaplikasikan dalam produk syarikatnya.
“Pasaran bagi kelengkapan elektronik di Malaysia banyak membekalkan barangan yang dapat menghasilkan produk yang berspesifikasi sederhana.
“Di pameran ini, saya dapat lihat barangan yang dipamerkan mempunyai kriteria untuk menghasilkan produk yang mempunyai spesifikasi yang tinggi dalam produk keluaran syarikat kami,” ujarnya.
Selain daripada produk elektrik, pameran itu juga memberi peluang kepada pengunjung atau syarikat untuk mencari servis penyelenggaraan yang bersesuaian untuk diaplikasikan dengan perkhidmatan syarikat yang mengendalikan sistem elektrik.

No comments:

Post a Comment