Wednesday, April 24, 2013

Takut Malu, Hafiz Suip Enggan Kongsi Kisah Peribadi

Hafiz mengakui belum bersedia untuk berumah tangga dan mahu memberi fokus kepada kerjayanya terlebih dahulu.
PETALING JAYA: Penyanyi lagu Awan Nano, Hafiz enggan lagi bercakap soal peribadi terutama kisah percintaannya kepada umum kerana bimbang ia akan dijadikan isu sehingga menyebabkan namanya tercalar.
Pemilik nama penuh Mohd Hafiz Mohd Suip, 23, ini berkata, walaupun bergelar selebriti, sebagai manusia biasa yang inginkan privasi dia berhak untuk menyimpan perkara itu tanpa perlu dikongsi dengan orang lain.
"Bukan semua perkara saya boleh kongsi dengan peminat dan biarlah cerita mengenai peribadi dan hubungan cinta saya simpan buat diri sendiri.
"Jika terjadi apa-apa pada hubungan tersebut seperti putus di tengah jalan tidaklah saya malu nanti," katanya kepada mStar Online.
Hafiz sebelum ini mengakui dia sedang menjalinkan hubungan dengan seorang wanita yang dikenali hampir setahun lalu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai jodoh, Hafiz berkata, masih terlalu awal untuknya bercakap mengenai perkara itu kerana faktor usianya yang masih muda.
Malah dia mahu mengukuhkan terlebih dahulu kerjayanya sebagai penyanyi bagi memastikan masa depannya lebih terjamin.
"Saya ingin mengumpul kesenangan terlebih dahulu dan barulah boleh bercakap mengenai kahwin kerana tanggungjawab sebagai seorang suami adalah besar dan bukan mudah.
"Tambahan pula usia saya masih muda dan tidak terlalu memikirkan soal kahwin buat masa ini," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Hafiz berkata, dia kini sedang sibuk membuat latihan bagi konsert pertamanya di Dewan Filharmonik Petronas dekat sini pada 1 Jun depan.
Jelas Hafiz, dia bakal menyampaikan sembilan buah lagu pada malam tersebut dan mengakui gementar untuk membuat persembahan di pentas berprestij itu.
"Ini adalah peluang keemasan saya sebagai seorang penyanyi. Walaupun gementar tetapi pada masa sama saya cukup teruja dan terharu diberi peluang untuk membuat persembahan di sana," katanya.

FDAM Mohon Maaf, Akan Pulangkan Wang Aaron Aziz

Aaron Aziz
PETALING JAYA: Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM) akan memulangkan semula lebihan wang daripada pembayaran RM1,500 yang dibuat oleh pelakon Aaron Aziz untuk menjadi ahli persatuan itu selepas timbul salah faham berhubung taraf kerakyatannya di negara ini.
Presiden FDAM, Othman Hafsham, 72, berkata, jumlah amaun itu sepatutnya dibayar bagi mereka yang bukan warganegara Malaysia.
"Saya mewakili pihak FDAM memohon maaf atas kesilapan mengenai hal pembayaran yuran Aaron. Orang yang menjaga hal-hal itu mungkin tidak peka dengan status Aaron yang kini sudah mendapat taraf penduduk tetap di negara ini.
"Diharap Aaron dapat hadir ke pejabat kami untuk menerima semula baki wang yuran berkenaan.
"Bagaimanapun, saya cuba menghubungi Aaron sejak pagi tadi (Rabu), tetapi tidak berjawab," katanya yang dihubungi mStar Online pada Rabu.
Othman Hafsham
Beritahu Othman, sepatutnya, bagi warganegara Malaysia, yuran ahli yang dikenakan hanyalah RM300 sahaja manakala yang bukan warganegara perlu membayar RM1,000.
Menerusi laman Instagram milik Aaron pada Selasa lalu, dia memaparkan sekeping resit pembayaran selepas mendaftar sebagai ahli persatuan tersebut yang dilakukan pada 14 April lalu.
Aaron juga meluahkan rasa tidak puas hati dengan bayaran yang tinggi dikenakan terhadapnya.
Malah, Aaron juga terkilan apabila pihak FDAM tidak meneliti statusnya sebagai penduduk tetap negara ini selain menuduhnya sebagai pekerja asing yang tidak tahu peraturan selepas mendapat peluang mengarah filem Romeo Kota, terbitan Excellent Pictures tanpa menjadi ahli persatuan itu.
Resit pembayaran yang dibuat Aaron kepada FDAM.
Terdahulu, pihak FDAM mendakwa Aaron belum mendaftar sebagai ahli sewaktu memulakan pengarahannya sehingga menyebabkan pihak penguat kuasa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan FDAM menyerbu lokasi penggambaran filem itu pada 3 April lalu.
Sementara itu, penerbit Excellent Picture iaitu Ahmad Idham mengakui tentang kedudukan Aaron yang tidak menjadi ahli persatuan berkenaan ketika menawarkannya mengarah filem berkenaan.
Kata Idham, dia turut memohon maaf kerana tidak peka dengan perkara tersebut kerana beranggapan Aaron hanya boleh mendaftar selepas dia diberi peluang mengarah sebuah filem bagi tujuan rujukan pihak FDAM.
"Memang saya tahu Aaron bukan ahli FDAM sebelum ini dan saya mengambil dia sebagai pengarah atas penilaian saya terhadapnya yang begitu efisien dalam kerja.
Ahmad Idham
"Lagipun biasanya sebelum ini pihak FDAM mahu melihat profil pengarah yang mana mereka haruslah berpengalaman mengarahkan sekurang-kurangnya sebuah karya sebelum diberi kad ahli FDAM. .
"Maka saya menganggap Aaron juga akan mendaftar selepas menyiapkan penggambaran Romeo Kota. Tapi tak sangka pula ketika di set penggambaran, kami diserbu tanpa sebarang notis," ujarnya.
Tambah Idham, dia berharap perkara seperti ini tidak akan berulang lagi kerana ia sedikit sebanyak boleh mengganggu kerja-kerja produksi dan meminta mana-mana pihak persatuan seni negara ini peka sebelum bertindak.

Amy Search: Kalau itu pilihan Nabila


Nabila Huda
Nabila Huda dan Nas-T.
“Kalau betul Nas-T adalah pilihan Nabila, saya berharap hubungan mereka kekal dan mereka saling memahami diri masing-masing,” kata Amy Search.

Mengulas lanjut mengenai kisah percintaan anak perempuannya itu, legenda Rock tanah air ini memberitahu, pada awalnya dia sendiri tidak tahu mengenai hubungan tersebut.

“Saya memang tidak tahu mengenai perkara ini dan saya dapat tahu pun setelah membaca akhbar sebab Nabila tidak pernah cerita pada saya. Saya juga memang tidak kenal Nas-T.

“Tapi sebagai bapa, apa yang saya harapkan, Nabila bahagia dan dapat mengekalkan hubungan itu dengan baik,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah Anugerah Bintang Popular, kelmarin.

Tambah Amy, walaupun kisah percintaan Nabila sudah tersebar luas, namun sehingga hari ini dia masih belum diperkenalkan dengan kekasih anak perempuannya itu.

“Saya belum pernah bertemu dengan Nas-T. Tapi saya tidak kisah asalkan mereka berdua bahagia.

“Manusia tidak ada yang sempurna dan mereka perlu mengenali hati budi dan saling menerima buruk baik diri masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Amy turut melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Nabila yang memenangi anugerah Pelakon Drama Wanita Popular.

“Sudah tentu kami sekeluarga gembira dan bangga dengan pencapaiannya. Saya yakin kemenangan itu adalah hasil usaha kerasnya.

“Dia pandai berdikari dan sebelum ini juga dia tidak pernah menggunakan tiket ‘anak Amy Search’ untuk mencapai kejayaan dalam bidang ini ,”katanya.

Yassin peserta pertama tersingkir


Yassin Yahya
Yassin Yahya
Baru sahaja dua hari berada di pentas Masterchef Selebriti Malaysia 2 (MSM 2), bekas ahli kumpulan Senario, Yassin terpaksa akur menjadi peserta pertama yang disingkirkan.

Yassin atau nama sebenarnya, Yassin Yahya, 35, akui kecewa dengan penyingkiran tersebut.

“Memang saya sedih bila menjadi peserta pertama yang tersingkir, lagipun ia baru sahaja bermula dan masih banyak perkara yang ingin saya belajar.

“Sebelum ini, memang saya tak pandai memasak, setakat masak air, maggi dan nasi, boleh la.. Tapi, sejak menyertai MSM 2, saya belajar sesuatu yang baru.

“Insya-ALL AH, selepas ini, saya akan terus memasak dan cuba memperbaiki kelemahan serta mempelajari teknik yang betul,” katanya mendapat sokongan keluarga dan isteri untuk menyertai MSM 2.

Yassin disingkirkan daripada dapur MSM 2 setelah hidangannya, Ikan Goreng Berat Sebelah, gagal memikat hati juri.

Bagaimanapun, Yassin yang mewakili Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia berjaya menyumbangkan dana sebanyak RM500.

Mizz Nina harap hamil tahun ini


Mizz Nina harap hamil tahun ini
Mizz Nina dan suaminya, Noh Salleh. 
SETELAH mendirikan rumah tangga hampir dua tahun, pasangan selebriti, Mizz Nina dan Noh Salleh masih belum dikurniakan cahaya mata.

Akui merancang keluarga demi perjalanannya karier seninya sebelum ini, kini Mizz Nina sudah bersedia untuk mempunyai anak sendiri.

Menurutnya, jika ditakdirkan hamil pada tahun ini, dia menerima.

“Ya. Saya memang dah rancang. Sebenarnya ia dah ‘start’. Kalau ia berlaku, ia berlaku. Saya terima.

“Harap-harap saya hamil tahun ini dan melahirkan tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian Online, ketika ditemui pada sidang media konsert sulungnya.

Mizz Nina bernikah dengan Noh Salleh pada 1 Julai 2011.

Dalam perkembangan lain, Mizz Nina juga berharap untuk mengadakan persembahan di Korea Selatan bagi mempromosikan lagu kolaborasinya dengan penyanyi, Jay Park, Around The World.

“Kami lancarkan video di YouTube. Setakat ini, peminat K-Pop memberi sokongan dan bercakap tentang lagu itu di media.

“Saya harap, saya berpeluang untuk mengadakan ‘trip’ ke Korea dalam masa terdekat untuk mempromosikan lagu itu. Mungkin pemasaran dan promosi akan dilakukan selepas konsert,” katanya.

Ekoran lagu Around The World yang dilancarkan baru-baru ini, Mizz Nina dikatakan menggunakan suara mesin.

Namun, penyanyi berusia 33 tahun ini menafikan perkara tersebut.

“Saya rasa orang yang bercakap negatif ini, mereka tak puas hati dengan kehidupan mereka. Jadi, mereka memilih untuk komen terhadap orang lain.

“Bercakap tentang suara mesin ini, mereka tak faham, apa muzik itu? Mana ada mesin. Sekarang semuanya dah canggih... ada banyak ‘filter’, sama ada kita nak suara itu nampak original atau tidak,” katanya.

Tambahnya, “jadi, untuk orang yang buat komen negatif pada saya , saya hindari mereka. Mereka terlalu ‘judgemental’. Saya memang tak mengambil komen-komen itu dengan serius.”

Mizz Nina bakal mengadakan konsert pertamanya, Around The World Concert pada 18 Mei ini dengan penampilan khas, Jay Park, Noh Salleh dan Teh Tarik Crew.

Norman suka lihat Memey bertudung


NORMAN mahu Memey memakai tudung kerana Allah, bukan atas desakan sesiapa.


PADA hari Ahad lalu pelakon Memey Suhaiza membuat kemunculan di khalayak ramai dengan tampil bertudung litup ketika menghadiri acara hari sukan anak tirinya, Mohamed Danish Hakim.
Beberapa keping gambarnya bertudung turut dimuat naik ke laman Instagram miliknya, sehingga ramai peminat yang menyangka bahawa isteri kepada pelakon Norman Hakim itu sudah mengikut jejak langkah beberapa artis yang kini sudah bertudung.
Bagaimanapun, Memey yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini memberitahu, dia tidak mahu peminat salah sangka apabila menganggap dirinya kini sudah bertudung.
Sebaliknya, pelakon yang baru dikurniakan cahaya mata, Mohamed Darwisz Hakim itu menyatakan sehingga kini dia masih lagi belum bertudung sepenuhnya, tetapi masih dalam proses percubaan untuk memakai tudung.
Kosmo!: Bagaimanakah kehidupan Memey selepas bergelar ibu?
MEMEY: Ia merupakan satu perasaan yang sukar untuk diperkatakan, tetapi apabila dikurniakan cahaya mata sudah tentu ia menjadi pelengkap kepada kehidupan saya sebagai seorang isteri.
Setelah tamat berpantang pada awal April lalu, adakah anda sudah kembali berlakon?
Buat masa ini saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Roda-Roda KL. Namun begitu, setiap kali ke lokasi penggambaran, saya selalu berasa berat hati untuk berpisah seketika dengan anak kerana terlalu rindu. Sebenarnya, selepas melahirkan anak sudah banyak tawaran berlakon yang diterima, tetapi dalam tempoh sekarang ini saya terima tawaran yang memerlukan saya berlakon di sekitar Kuala Lumpur sahaja.
Bagaimanakah pula dengan anak apabila anda menjalani penggambaran?
Tanggungjawab menjaga anak saya serahkan segalanya kepada adik saya yang selama ini memang bekerja dengan saya. Cuma, saya telah memintanya supaya menjaga Darwisz di rumah sahaja.
Adakah suami tidak kisah apabila anda kembali aktif berlakon setelah memiliki cahaya mata?
Saya sangat beruntung kerana suami tidak pernah menghalang saya aktif berlakon semula. Dia cukup memahami minat saya yang mendalam terhadap dunia lakonan, namun dia tetap meletakkan syarat supaya kepentingan keluarga perlu lebih diutamakan berbanding kerjaya.
Baru-baru ini terdapat beberapa keping gambar yang memaparkan anda bertudung sewaktu muncul di khalayak ramai. Adakah sekarang ini anda sudah bertudung sepenuhnya?
Ketika ini saya masih lagi belum bertudung dan lakonan saya dalam Roda-Roda KL juga tidak menampilkan saya memakai tudung. Apa yang boleh dikatakan, saya masih lagi dalam proses belajar lagi. Kalau boleh saya tidak mahu peminat keliru dengan penampilan saya itu dan begitu mengharapkan doa daripada peminat agar pintu hati saya terbuka sepenuhnya untuk bertudung.
Apakah pandangan suami apabila melihat anda sudah mula berjinak-jinak untuk memakai tudung?
Sudah tentu suami merupakan orang yang paling gembira dan memberitahu dia memang suka lihat saya bertudung. Bagaimanapun, dia tidak memaksa saya dan berpesan supaya setiap perubahan yang dilakukannya itu mestilah niat kerana Allah tanpa paksaan daripada sesiapa.

Wanita Kelantan serbu kedai emas


ORANG ramai mengunjungi sebuah kedai emas untuk membeli barangan kemas di Jalan Post Office Lama, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Di sebalik kehangatan kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di sini, orang ramai khususnya kaum wanita Kelantan tidak melepaskan peluang membeli barangan kemas berikutan harga emas turun sejak minggu lepas.
Harga emas jenis 916 yang menjadi pilihan ramai turun kepada RM380 bagi 2.7 gram berbanding RM420 untuk 2.7 gram sebelumnya.
Harga emas di pasaran dunia yang dicatatkan semalam ialah RM140 satu gram.
Tinjauan di sekitar bandar Kota Bharu seawal pukul 9 pagi semalam mendapati pengunjung mula membanjiri kedai-kedai emas, malah ada yang sanggup beratur sebelum waktu perniagaan bermula.
Pekerja sebuah kedai emas di Jalan Post Office Lama di sini, Wan Ahmad Salihan Wan Mohd Zaki berkata, orang ramai mula menyerbu kedai milik keluarganya itu selepas berita harga emas turun disiarkan akhbar pada minggu lepas.
Susulan itu, Wan Ahmad Salihan berkata, operasi kedai itu yang ditutup pukul 5.30 petang setiap hari kini dilanjutkan sehingga pukul 7 malam.
Antara yang menjadi pilihan pelanggan ialah rantai, gelang dan loket selain barangan kemas yang ditempah mengikut kehendak mereka.

KL dilanda banjir kilat


BEBERAPA kenderaan gagal meneruskan perjalanan apabila Jalan Maarof di Bangsar, Kuala Lumpur dilanda banjir kilat semalam.


KUALA LUMPUR - Beberapa kawasan dan jalan raya utama di sekitar ibu negara ditenggelami air ekoran hujan lebat selama lebih sejam petang semalam.
Antara kawasan yang teruk terjejas akibat banjir kilat yang bermula pada kira-kira pukul 5 petang termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Parlimen, Jalan Duta, Jalan Chan Sow Lin, Jalan Segambut, Jalan Maarof serta Lebuh Raya Persekutuan dan Lebuh Raya Pantai Baru.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, hujan lebat turut menyebabkan beberapa pokok tumbang sehingga menghempap dua kenderaan di Plaza Perabot, Jalan Klang Lama.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Peragut jadi 'beg tinju'


ANGGOTA polis menahan seorang peragut selepas dibelasah penduduk di Ampang, Selangor kelmarin.


AMPANG – Seorang peragut ditimpa malang apabila bukan sahaja gagal mendapatkan hasil samun malah, dia cedera selepas menjadi ‘karung tinju’ sekumpulan penduduk yang menangkapnya dalam kejadian di Pangsapuri Permai Court di sini kelmarin.
Kejadian pukul 11.30 malam itu berlaku apabila suspek berusia lingkungan 30-an tersebut dikatakan telah meragut beg tangan seorang wanita warga China sebelum jeritan mangsa didengari sekumpulan lelaki yang sedang bermain karom di bawah pangsapuri tersebut.
Difahamkan, mangsa dibelasah kerana dia cuba melawan untuk melepaskan diri setelah dikepung kira-kira 15 penduduk. Dia kemudian meminta maaf dan mohon dilepaskan.
Bagaimanapun permintaannya tidak diendahkan sebelum diserahkan kepada polis.
Mengimbau semula kejadian itu, wanita yang dikenali sebagai Fei, 48, berkata, dia bersama seorang lagi rakan senegaranya sedang berjalan kaki menggunakan laluan alternatif untuk pulang ke rumah dari tempat kerja.
“Tiba-tiba peragut datang dari belakang dan terus merentap beg tangan yang saya pegang.

Penyamun parah dibelasah orang ramai


SEORANG lelaki parah selepas dibelasah orang ramai di Seremban semalam.


SEREMBAN - Malang menimpa seorang lelaki apabila dia bukan sahaja gagal mendapatkan hasil samun malah, ditinggalkan rakan apabila melihat dirinya teruk dibelasah oleh orang awam dalam kejadian di Biz Avenue di Seremban 2 dekat sini semalam.
Kejadian pukul 3 petang itu berlaku apabila suspek bersama seorang lagi rakannya yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z cuba menyamun rantai leher seorang lelaki berusia 34 tahun.
Jurucakap polis berkata, mangsa yang enggan menurut arahan cuba melawan menyebabkan suspek terus menetak kepala lelaki itu sebanyak dua kali sebelum cuba melarikan diri.

Harga rumah dijangka naik 10 hingga 15 peratus


PERMINTAAN tinggi dijangka diterima bagi projek perumahan yang dibangunkan berdekatan dengan kawasan projek prasarana. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Harga hartanah kediaman di negara ini dijangka terus meningkat 10 hingga 15 peratus tahun ini, demikian menurut firma perkhidmatan hartanah, C H Williams Talhar and Wong Sdn. Bhd.
Pengarah Urusannya, Foo Gee Jen berkata, jualan bagi pembangunan perumahan baharu dijangka kekal tahun ini dipacu daripada permintaan tinggi bagi hartanah kediaman dalam negara.
"Bahagian permintaan tinggi terletak berhampiran dengan projek prasarana utama seperti Transit Aliran Massa, Transit Aliran Ringan dan laluan komuter,
"Trend pembetulan secara besar-besaran akan dilihat pada tahun ini. Harga rumah rata-ratanya kekal tidak berubah tetapi harga dijangka berdepan dengan tekanan daripada peningkatan harga bahan mentah," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Laporan Pasaran Hartanah 2013 di sini semalam.
Gee Jen menerangkan, pasaran kediaman bertanah dijangka terus bertahan dengan pertumbuhan stabil walaupun kemungkinan hanya sedikit unit akan dilancarkan.

Bangunan runtuh, 100 terbunuh

PEKERJA penyelamat dan orang ramai mencari mangsa yang terselamat selepas sebuah bangunan runtuh di Savar, Bangladesh semalam.


SAVAR - Tidak kurang 100 orang terbunuh dengan ramai lagi mangsa dikhuatiri mati selepas sebuah bangunan runtuh di Bangladesh semalam, menurut sumber rasmi.
Bangunan lapan tingkat tersebut, Plaza Rana, menempatkan beberapa premis perniagaan termasuk sebuah pasar raya dan kilang pakaian.
Seorang pegawai berkata, hanya tingkat bawah bangunan itu yang menempatkan sebuah bank masih berada dalam keadaan sempurna.
Bangunan itu terletak di bandar ini, 30 kilometer dari ibu kota Bangladesh, Dhaka.
"Setakat ini, kami telah menjumpai 15 mayat dengan ramai lagi dikhuatiri mati," kata Pengarah Jabatan Bomba, Mejar Zehadul Islam kepada agensi berita AFP.
Menurutnya, pasukan tentera turut dipanggil bagi membantu usaha menyelamatkan mangsa.
Sekitar 2,000 orang berada di dalam bangunan tersebut ketika ia runtuh pada pukul 9 pagi (waktu tempatan).
Ketua polis tempatan, M. Asaduzzaman pula memberitahu, situasi kini genting dengan sekurang-kurangnya 150 dibimbangi masih terperangkap di bawah timbunan runtuhan.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai kesihatan, Litu Ahmed berkata, sekurang-kurangnya 35 mangsa yang cedera telah dimasukkan ke hospital manakala 150 orang lagi menerima rawatan pesakit luar.
Kejadian bangunan runtuh kerap berlaku di Bangladesh ekoran sikap pemaju yang tidak mempedulikan peraturan pembinaan bangunan bertingkat.

Harga petrol di Indonesia naik 40%


KENDERAAN berbaris untuk mengisi petrol di stesen minyak milik negara, Pertamina di Jakarta semalam.


JAKARTA - Pemerintah Indonesia mengambil risiko kehilangan populariti menjelang pilihan raya 2014 berikutan rancangannya mahu mengurangkan subsidi minyak di negara berkenaan.
Sebelum ini pakar-pakar ekonomi bimbang subsidi harga minyak yang menelan lebih 16 peratus bajet negara akan menjejaskan ekonomi Indonesia.
Rancangan untuk menaikkan harga petrol dan diesel itu adalah yang pertama sejak lima tahun lalu.
Menteri Tenaga, Jero Wacik mengumumkan seminggu lalu bahawa pelan tersebut akan menyaksikan harga petrol untuk kereta persendirian meningkat lebih 40 peratus.
Kenaikan itu akan mula berkuat kuasa pada bulan depan.
Harga petrol di Indonesia ketika ini kekal pada 4,500 rupiah (RM1.40) seliter atau separuh daripada harga pasaran semasa sekali gus antara yang termurah di Asia. Di bawah pelan baharu tersebut, harga petrol untuk kereta persendirian dijangka naik sekitar 6,500 rupiah (RM2.03) seliter.
Pemerintah Indonesia berharap dapat mengekang kemarahan rakyat dengan mengekalkan subsidi penuh petrol dan diesel untuk motosikal serta pengangkutan awam.
Namun, rancangan itu telah membangkitkan rasa tidak senang dalam kalangan 240 juta rakyat di negara itu.
"Masalahnya, jika harga minyak naik, harga barangan lain seperti daging dan gandum akan turut meningkat," kata seorang penjual mi di sini.
Subsidi minyak menjadi masalah kepada banyak negara di Asia termasuk India dan Malaysia yang berdepan tekanan untuk mengekalkan subsidi yang tinggi di sebalik kenaikan harga minyak global.
Harga minyak mentah bagi penghantaran Jun 2013 jatuh 1 sen AS$89.18 (RM272.17) setong di Bursa Mercantile New York manakala di bursa hadapan ICE, London, minyak mentah Brent meningkat 62 sen untuk diniagakan pada harga AS$100.93 (RM308.03) setong.

Rokok elektronik bukan penyelesaian ketagihan

KEPEKATAN nikotin tanpa piawaian dalam rokok elektronik boleh menyempitkan saluran darah sehingga mengakibatkan strok.


SUDAH bertahun Khairul Hanafi Othman, 32, cuba mencari solusi untuk menghentikan ketagihan merokok yang dialaminya sejak 11 tahun lalu. Masalah ketagihan merokok berlarutan sehinggalah tahun lalu, anak kelahiran Temerloh, Pahang itu mendapat perkhabaran mengenai kesihatan anak keduanya, Nur Salina yang berusia empat tahun menghidap penyakit lelah.
"Ketika menerima berita itu, saya merasa sangat bersalah kerana menjadi faktor utama kepada penyakit dialami Nur Salina," luah Khairul Hanafi yang bekerja dalam sektor awam ketika ditemui oleh Kosmo! baru-baru ini.
Masalah seperti anak Khairul Hanafi sering berlaku kepada kebanyakan perokok pasif. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perokok pasif tidak merokok, tetapi terdedah kepada asap rokok sekurang-kurangnya 15 minit dalam masa dua hari untuk tempoh seminggu.
Perokok pasif mempunyai risiko 30 peratus lebih tinggi untuk mendapat kanser paru-paru dan 25 peratus lebih tinggi mendapat penyakit jantung. Kanak-kanak adalah lebih mudah mendapat asma akibat asap rokok. Selain itu, pertumbuhan paru-paru mereka akan terganggu dan menyebabkan otak menjadi lembab.
Selepas berkahwin, Khairul Hanafi pernah berhenti terus daripada merokok, tetapi hanya bertahan selama tiga bulan. Dia tidak mampu menahan diri dengan bau asap rokok daripada orang sekelilingnya.
"Sejak akhir tahun lepas saya mencuba sekali lagi, namun kali ini tidak seperti dahulu iaitu berhenti serta-merta," ujarnya.
Sebagai langkah permulaan, dia menggunakan rokok elektronik yang dibelinya pada harga RM250 di sebuah pusat beli-belah sekitar ibu kota.
"Seorang rakan memperkenalkan rokok tersebut kepada saya dan mengatakan ia mampu membantu perokok tegar untuk berhenti secara berkala," tambah Khairul.
Alat rokok elektronik terdiri daripada tiga komponen iaitu alat pengewapan (atomizer) yang lazimnya diklasifikasikan sebagai alat elektronik, bateri dan katrij boleh ganti mengandungi cecair nikotin.
Walaupun mula menunjukkan perubahan positif dari segi pengambilan rokok tembakau, Khairul Hanafi dirundung dengan masalah baharu apabila anak penyakit lelah anaknya bertambah kronik.
"Selepas bertemu dengan doktor, barulah saya mengetahui bahawa rokok elektronik itu juga menjadi punca kepada masalah lelah Nur Salina," jelasnya.
PENJUALAN rokok elektronik semakin berleluasa di sekitar ibu kota apabila pembeli boleh mendapatkannya dengan mudah dan murah.


Sakit dada
Berada dalam yang hampir sama dengan Khairul Hanafi, Amir Hidayat Sulaiman, 38, berhenti menggunakan rokok elektronik sejak dua bulan lepas. Niat untuk berhenti merokok tidak kesampaian apabila masih merokok dalam kuantiti yang banyak.
Dia beralih menggunakan rokok elektronik selepas percubaan mengambil gula getah nikotin selama empat bulan menemui jalan buntu.
"Saya mengambil rokok elektronik kerana terikut-ikut dengan kawan sepejabat yang juga penjual rokok itu," ujar Amir Hidayat ketika diwawancara Kosmo! di sebuah restoran makanan segera di KL Sentral.
Eksekutif muda di syarikat hartanah itu berkata, tiada perbezaan dari sudut kesihatan jika dibandingkan dengan rokok tembakau. Amir Hidayat masih lagi mengalami sakit dada sama seperti ketika dia mengambil rokok tembakau.
Menurut Amir Hidayat, salah satu puncanya adalah pengambilan nikotin yang disedut daripada rokok elektronik.
Terdapat pelbagai jenis perisa dan aroma cecair nikotin untuk rokok elektronik yang dijual di pasaran. Pengguna rokok elektronik, terutamanya golongan muda, sering tertipu dengan cecair nikotin yang dibeli pada harga murah di pasar-pasar malam atau secara individu.
Dipasaran rokok elektronik biasanya dijual pada harga antara RM100 hingga RM500. Rokok elektronik yang murah biasanya dibawa dari China manakala rokok elektronik mahal dari Amerika Syarikat.
Harga untuk sebotol nikotin yang boleh bertahan antara seminggu hingga dua minggu pula sekitar RM10 hingga RM15.
Kepekatan nikotin
Pengarah Institut Perubatan Pernafasan Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Abdul Razak Abdul Muttalif berkata, nikotin yang terdapat dalam rokok elektronik adalah sama dengan rokok tembakau.
"Namun begitu, kepekatan nikotin dalam cecair rokok elektronik tidak dapat ditentukan dengan pasti kerana kajian telah menunjukkan kepekatannya tidak mengikut seperti yang dilabelkan," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Andaian bahawa rokok elektronik dapat membantu mengurangkan ketagihan perokok adalah tersasar sama sekali. Tambah Abdul Razak, mereka sepatutnya berjumpa dengan doktor berkelayakan dan mempunyai semangat motivasi yang tinggi untuk berhenti merokok.
"Proses untuk berhenti merokok adalah sangat kompleks. Perokok tidak hanya diberikan ubat-ubatan kerana pada masa sama, mereka perlu melalui beberapa peringkat sebelum dapat berhenti dengan baik.

ASAP nikotin memberi kesan lebih kuat terhadap perokok pasif cilik sehingga menyebabkan mereka menghidap lelah.


"Antaranya mereka akan diberikan kaunseling, pengetahuan mengenai tabiat dan kandungan rokok selain membuat lawatan lanjut sepanjang proses itu," jelas Abdul Razak.
Mereka akan dibekalkan ubat-ubatan seperti varenicline yang membantu mengurangkan masalah ketagihan.
"Ubat-ubatan yang diberikan boleh membantu perokok antara 40 peratus hingga 50 peratus jika mengikut prosedur yang ditetapkan oleh doktor.
"Mereka mampu berhenti merokok dalam masa enam bulan atau lebih sekiranya bersungguh-sungguh. Malah, hampir 40 peratus pesakit telah berjaya berhenti secara tetap setakat ini," kata Abdul Razak.
Kementerian Kesihatan Malaysia sememangnya menawarkan Perkhidmatan Berhenti Merokok di semua hospital kerajaan dan klinik-klinik kesihatan bagi rawatan ketagihan nikotin.
Mengulas mengenai kaedah berhenti merokok, Pengarah Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Chong Chee Kheong, berkata, perokok pada kebiasaannya akan diberi ubat-ubat Nicotine Replacement Theraphy (NRT) yang dapat membantu masalah ketagihan mereka.
"Ubat-ubat NRT bertindak dengan cara mengurangkan kesan sampingan yang dialami perokok akibat pemberhentian merokok.
"Pemberian ubat tersebut dilakukan secara berperingkat sehingga individu tersebut bebas daripada ketagihan nikotin," jelasnya.
Ubat-ubatan NRT yang sah terjual di Malaysia adalah selamat digunakan kerana ia menjalani ujian klinikal bagi mengenal pasti keselamatan dan keberkesanannya. Penggunaan ubat tersebut juga mendapat kelulusan daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tukar sampah jadi tenaga elektrik


SEORANG pekerja memeriksa telaga gas yang dibina di atas tapak pembuangan sampah.


TERESITA MABIGNAY, 50, sedang menyeterika baju menggunakan tenaga elektrik percuma yang terletak di kawasan pelupusan timbunan sampah.
Teresita tinggal berdekatan dengan pusat pelupusan sampah terbesar di Manila, Filipina yang menjadi pusat pelupusan pertama di negara itu yang berupaya menukarkan gas metana kepada sumber tenaga elektrik.
Para saintis mendakwa proses penguraian sampah untuk menghasilkan gas metana menjadi salah satu penyebab kesan rumah hijau yang mengakibatkan pemanasan global.
Namun, apabila gas metana tersebut diuraikan menggunakan teknologi moden, ia berubah menjadi tenaga elektrik sekali gus menghalang gasnya merebak di atmosfera.
Ini kerana, gas metana tersebut diperangkap menggunakan paip yang ditanam di bawah tapak pelupusan berkenaan, sama seperti terowong yang mengekstrak gas daripada tanah atau laut.
Gas metana itu kemudian disedut daripada punca tenaga yang terletak di bawah tapak pembuangan dan dipam ke dalam mesin janaan bagi menghasilkan tenaga elektrik.
Beberapa tahun lalu, Teresita dan masyarakat setinggan di kawasan pelupusan sampah Payatas diberi kebenaran masuk ke dewan bekalan tenaga yang dibina di kawasan berkenaan.
"Kemudahan ini mengurangkan perbelanjaan bayaran bil elektrik dan membolehkan kami menggunakan wang simpanan untuk membeli makanan," kata Teresita.
Suami Teresita turut mendapat pekerjaan sebagai pegawai keselamatan di tapak tersebut dengan gaji sebanyak 8,370 peso (RM618) sebulan.
Syarikat yang terlibat dalam projek berkenaan iaitu Tenaga Hijau Pangea Filipina (Pangea) dianggap bermurah hati kerana membenarkan masyarakat memanfaatkan sumber tenaga tersebut yang nilainya boleh mencecah ribuan ringgit.
Memulihara alam sekitar
Presiden Pangea, Jennifer Ferman Campos berkata, pihaknya berasa gembira kerana berjaya memulihara alam sekitar melalui cara tersendiri yang mampu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Beribu-ribu projek tenaga yang boleh diperbaharui di negara membangun telah didaftarkan di bawah Mekanisme Pembangunan Bersih Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak 2005, termasuk ladang angin, stesen solar dan empangan hidro.
Menurut laman web www.cdmpipeline.org, selepas projek menukarkan sisa buangan menjadi tenaga dijalankan oleh empat orang perintis Pangea di Filipina, semakin banyak projek seumpama itu dijalankan.
Bagaimanapun, harga pasaran bagi setiap tan gas rumah hijau mula jatuh mendadak pada tahun 2010 disebabkan krisis ekonomi di Eropah yang menjadi sumber terbesar pendapatan syarikat pengusaha.
Ekoran itu, kapasiti Pangea berkembang daripada 200 kilowatt (kW) kepada 1,000 kW sekali gus memaksa mereka mencari pasaran lain termasuk menjualnya kepada pihak pembekal tenaga elektrik di Manila.
Sebelum ini, elektrik yang dijana di Payatas hanya digunakan untuk operasi kuasa di tapak pelupusan dan bagi kegunaan komuniti setinggan berdekatan melalui projek seterika dan lampu jalan kejiranan.

JENTERA pemungut digunakan bagi mengumpul bahan kitar semula di tapak pelupusan sementara di Payatas.


Projek ditentang
Menurut Jennifer, jumlah gas rumah hijau yang berjaya 'diselamatkan' di Payatas kini bersamaan dengan gas yang dihasilkan oleh 18,000 kereta di jalan raya Manila.
Katanya, projek itu mempunyai pelbagai faedah alam sekitar yang lain termasuklah pengurangan pencemaran udara secara langsung terhadap penduduk sekitar.
Namun, Greenpeace dan beberapa kumpulan alam sekitar lain menentang projek penukaran sisa buangan kepada tenaga.
Mereka berpendapat, syarikat berkenaan yang menerima insentif kewangan daripada PBB telah menyumbang kepada peningkatan aktiviti pembuangan sampah.
"Satu-satunya cara untuk menangani isu penghasilan gas metana daripada sisa buangan adalah dengan menghentikan pembuangan sampah ke tapak pelupusan dahulu.
"Projek janaan tenaga melalui sisa buangan hanya akan menggalakkan aktiviti pembuangan sampah berbanding menghapuskannya kerana kamu terpaksa mencipta sisa bagi menggerakkan kemudahan tersebut," ujar pengurus program Greenpeace Filipina, Beau Baconguis.
Tambah Beau, kerajaan Filipina tidak berwawasan dalam mengurangkan sampah sarap dan pada masa sama seramai 12 juta penduduk Manila menghasilkan purata antara 6,000 hingga 8,000 tan sampah setiap hari.
Sementara itu, kerajaan tempatan di negara tersebut telah mula melaksanakan program kitar semula dan pengenalan pelbagai dasar baharu bagi mengurangkan pembuangan sampah sarap.
Ia dikatakan berjaya menurunkan jumlah pelupusan sampah daripada 1,800 tan metrik sehari kepada 1,200 tan metrik sehari.

Informasi terkini industri elektrik dan komputer



TAHUKAH anda, meter elektrik yang menunjukkan kadar penggunaan elektrik di rumah anda menggunakan sistem meter elektronik?
Meter tersebut merupakan pengganti kepada sistem meter elektromekanikal yang digunakan sejak penggunaan elektrik mula diperkenalkan di Malaysia.
Pertukaran meter elektromekanikal kepada elektronik mula diperkenal sejak tahun 2004. Walaupun meter elektronik menunjukkan bacaan meter yang lebih jitu, masih terdapat kediaman yang masih menggunakan sistem lama itu.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Vendor Krizik (Malaysia) Sdn. Bhd., Mohd. Nizam Razali, memberitahu, meter elektronik di kediaman mahupun kilang-kilang mempunyai jangka hayat lebih daripada 15 tahun.
“Selepas jangka hayat itu, meter elektronik masih menunjukkan bacaan yang tepat dan jitu tanpa sebarang kesalahan. Ia juga dapat mengelakkan penipuan dalam pengiraan bil elektrik bagi kediaman.
“Selain itu, analisis pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap meter elektromekanikal, bacaannya kurang tepat 20 hingga 30 peratus selepas jangka hayat 10 hingga 15 tahun,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada pameran ASEAN Elenex 2013 (AE 2013) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Krizik (Malaysia) Sdn. Bhd. (Krizik) merupakan salah sebuah syarikat yang menyertai pameran yang diadakan dua tahun sekali itu. AE 2013 disertai oleh 450 syarikat dari 30 buah negara yang mempamerkan inovasi dalam industri tenaga, elektrik dan sistem komputer.
Penyertaan syarikat tersebut dalam AE 2013 ternyata memberi informasi yang lengkap mengenai penggunaan meter elektrik di Malaysia. Krizik turut membawa sampel meter elektronik yang digunakan di rumah dan kilang-kilang.

PENGATURCARAAN komputer merupakan perkara asas dalam industri elektrik dalam mahupun luar negara.


“Krizik merupakan salah satu daripada empat vendor yang membekalkan meter elektronik kepada pihak TNB di Lembah Klang dan negeri-negeri Pantai Timur. Sehingga kini, hanya satu juta rakyat Malaysia yang telah menukar meter elektromekanikal kepada elektronik,” jelas Mohd Nizam.
Tambahnya lagi, sekiranya dahulu dengan hanya meletakkan magnet pada meter elektromekanikal, penghuni kediaman boleh menipu bacaan penggunaan elektrik di rumah mereka. Namun, dengan meter elektronik, terdapat fungsi merekod setiap penggunaan elektrik yang tepat setiap masa.
Pameran yang dihoskan oleh pihak TNB itu tidak hanya tertumpu kepada AE 2013 sahaja. Pameran perindustrian automasi 2013 (IA 2013) turut menjadi acara utama sepanjang empat hari majlis itu berlangsung.
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee turut hadir merasmikan majlis pelancaran AE 2013.
Dalam ucapan perasmiannya, Took Gee menyatakan bahawa pameran tersebut merupakan peluang terbaik untuk syarikat yang terlibat dalam industri kejuruteraan elektrik, penjanaan kuasa dan komputer untuk memperluaskan rangkaian serta bertukar-tukar idea atau pendapat.
Antara syarikat utama dalam industri elektrik dan teknologi komputer yang terlibat dalam pameran tersebut ialah ABB Malaysia, Alpha Automation, Komponen Elektrik Axis, TNB, Penghantaran dan Pembahagian Toshiba, United U-Li Corporation serta VSD Automation.
Tidak hanya menarik pengunjung dari dalam negara, AE 2013 turut menarik minat syarikat dari luar negara untuk melihat inovasi terbaharu di pameran itu.
Seorang pengurus industri kejuruteraan dari Taiwan, Min Han Tsai memberitahu, percutiannya di Kuala Lumpur ternyata membawa tuah kepadanya apabila turut berpeluang berkunjung ke pameran tersebut.
Menurut Han Tsai, tiada pameran spesifik di Taiwan yang menekankan hal ehwal industri elektrik di negara asalnya itu.
“Pameran ini memberi informasi yang jelas mengenai industri elektrik. Selain itu, kelengkapan elektrik yang dipamerkan juga boleh dikira terkini dalam pasaran dunia.
“Kelengkapan yang dipamerkan terutamanya daripada TNB juga memberi inspirasi kepada saya untuk mengekperimentasikan sistem yang digunakan di dalam projek elektrik saya apabila pulang ke Taiwan kelak,” ujarnya.

TOOK GEE (depan) sempat berkunjung ke kios-kios di AE 2013 selepas majlis perasmian pameran tersebut baru-baru ini.


Dengan penganjuran pameran AE 2013, ia merupakan sahutan kepada seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober tahun lalu. Seruan itu ialah mencapai objektif tenaga nasional sebanyak 5.5 peratus dalam sumber keperluan tenaga negara pada tahun 2015, lima tahun sebelum sasaran asal iaitu pada tahun 2020.
Sementara itu, seorang jurutera muda dari syarikat Toki Solution Sdn. Bhd., Muhammad Azlan Kamaruddin, 23, memberitahu, kunjungannya ke pameran itu bersama rakan sepejabatnya untuk melihat sistem komponen elektronik yang terbaharu di pasaran.
Selain itu, dia juga bertanggungjawab untuk membuat kajian mengenai pembekal kelengkapan elektronik seperti sistem pengawalan dan panel sesentuh untuk diaplikasikan dalam produk syarikatnya.
“Pasaran bagi kelengkapan elektronik di Malaysia banyak membekalkan barangan yang dapat menghasilkan produk yang berspesifikasi sederhana.
“Di pameran ini, saya dapat lihat barangan yang dipamerkan mempunyai kriteria untuk menghasilkan produk yang mempunyai spesifikasi yang tinggi dalam produk keluaran syarikat kami,” ujarnya.
Selain daripada produk elektrik, pameran itu juga memberi peluang kepada pengunjung atau syarikat untuk mencari servis penyelenggaraan yang bersesuaian untuk diaplikasikan dengan perkhidmatan syarikat yang mengendalikan sistem elektrik.

Bahaya e-mel penggodam


PERIKSA dulu kesahihan e-mel yang diterima sama ada dengan membuat panggilan terus atau melakukan carian di internet.


RATA-RATA pengguna internet mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun e-mel untuk berkomunikasi di dunia siber.
Secara purata pada hari ini, seseorang itu mempunyai dua akaun e-mel, satu untuk kegunaan peribadi, manakala lagi satu untuk kegunaan pejabat.
Namun begitu, selaku pengguna e-mel kita berhadapan dengan pelbagai risiko antaranya:
- Pendedahan maklumat peribadi atau korporat secara tidak sengaja
- Serangan virus terhadap sistem komputer
- Memberikan maklumat kepada penggodam dengan maklumat yang cukup bagi menceroboh sistem rangkaian korporat
Malangnya, ramai yang beranggapan mereka celik komputer dan tidak terdedah kepada risiko di atas. Ada juga yang berpendapat mereka bukan orang yang penting dan mustahil boleh menjadi golongan sasaran.
Pada hakikatnya, pengguna daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan mempunyai pengetahuan teknikal yang mendalam tentang sistem komputer turut menjadi mangsa.
Jika anda bekerja untuk organisasi yang menyimpan rekod pelanggan, anda tidak terkecuali daripada menjadi sasaran penjenayah siber yang ingin mendapatkan akses bagi memecah masuk rangkaian korporat.
Antara umpan yang sering digunakan dalam e-mel kepada pengguna adalah seperti tawaran wang tunai, diskaun, hadiah cabutan loteri dan juga amaran tentang akaun kad kredit atau perbankan dalam talian milik pengguna.
Bagaimanapun, pengguna secara tidak sengaja mungkin akan memberikan maklumat seperti kata pengguna, kata laluan, nombor akaun, nombor CVV kad kredit dan maklumat pelanggan.
Jangan buka langsung
Selain itu, pengguna juga seharusnya lebih berhati-hati apabila menerima e-mel yang mengandungi pautan laman web.
Gerakkan tetikus di atas pautan tersebut bagi melihat alamat sebenar laman web tersebut bagi mengelakkan daripada memasuki laman web palsu atau yang mengandungi perangkap.

PENGGODAM sentiasa mengambil peluang atas setiap kelalaian pengguna internet.


Pastikan juga anda tidak hanya berpandukan semata-mata kepada logo atau alamat untuk mengesahkan kesahihan e-mel yang diterima.
Logo boleh ditiru dan alamat laman web boleh diletakkan ke dalam e-mel dengan mudah bagi meraih keyakinan pengguna.
Jangan sekali-kali memberikan maklumat peribadi melalui e-mel. Dalam banyak kes, mangsa menerima e-mel elektronik yang kononnya dihantar oleh pihak bank meminta pengguna memberikan maklumat peribadi mereka sebagai langkah untuk mengelakkan sistem perbankan mereka digantung.
Pihak institusi kewangan tidak akan meminta maklumat peribadi pengguna. Jika tidak pasti, hubungi pihak institusi kewangan dengan mendapatkan nombor daripada sumber lain (contohnya di bahagian belakang kad ATM dan kad kredit, bukannya daripada e-mel itu sendiri).
Satu lagi kaedah untuk mengesahkan alamat atau nombor telefon yang tertera pada e-mel betul atau tidak adalah dengan membuat carian di internet.
Pengguna seharusnya lebih berhati-hati apabila menerima e-mel yang mempunyai lampiran fail. Pastikan anda tidak memuat turun atau membuka lampiran yang mengandungi fail berformat *.EXE.
Fail jenis itu sering kali digunakan oleh penggodam bagi mendapatkan akses jarak jauh kepada sistem komputer mangsanya.
Paling penting, sekiranya berasa sangsi dengan kesahiha e-emel, pastikan anda tidak membuka langsung lampiran yang disertakan.
Penggodam juga boleh membuat penyamaran format fail dengan menghantarkan fail dengan format berbeza, tetapi sebaik dibuka oleh mangsa, ia memberi kesan yang sama.

Pembersihan sampah di dasar laut

PROGRAM pembersihan dasar laut itu disifatkan mencabar kerana perlu berdepan keadaan laut yang bergelora.


SIKAP sesetengah masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam laut sebenarnya mengancam habitat laut selain mencemarkan keindahan dasar laut.
Namun malangnya, masih ramai yang tidak menyedari perkara itu. Melihat senario tersebut, tidak mustahil pada satu hari nanti laut akan menjadi tempat untuk kita melupuskan sampah dan pelbagai sisa lain.
Mahu mendidik masyarakat mencintai alam semula jadi, Astro mengambil inisiatif menganjurkan program Astro Kasih Beautiful Malaysia. Program itu merupakan sebahagian tanggungjawab korporat sosial dalam menjalankan aktiviti berbentuk pemuliharaan alam sekitar.
Justeru, seramai 134 penyelam dari seluruh dunia termasuk Perancis, Australia, New Zealand, Belanda, Switzerland, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Malaysia mengambil bahagian dalam program berkenaan.
Mereka telah melakukan kerja-kerja pembersihan sampah dasar laut di 224 buah lokasi sekitar Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Cuaca tidak menentu
Lebih menarik, kerja-kerja pembersihan sampah berkenaan yang dilakukan lebih 168 jam tanpa henti itu turut melakar sejarah tersendiri apabila tercatat dalam Guinness World Records sebagai projek pembersihan dasar laut terpanjang di dunia iaitu sejauh 26 kilometer. Ia merupakan rekod pertama di dunia.
Seorang penyelam, Jolyn Gasper, 36, berkata, dia teruja kerana dapat menyertai program tersebut buat pertama kali.
“Ia satu pengalaman yang mencabar kerana terpaksa berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah kakitangan swasta itu, sepanjang melakukan kerja-kerja pembersihan sampah itu, dia tidak menyangka terdapat pelbagai jenis sampah.
“Kami berjaya memungut kayu reput, botol, plastik, kertas, tin dan besi. Apa yang pasti, sampah sarap itu bukan sahaja akan menjejaskan pembiakan hidupan laut tetapi merosakkan terumbu karang,” ujarnya.

PROGRAM pembersihan dasar laut diharapkan dapat mendidik masyarakat mencintai alam.


Pengalaman berharga
Pendapat Jolyn turut disokong kakitangan Astro, Norhisham Nordin, 42, yang menyifatkan sepanjang melakukan aktiviti-aktiviti menyelam, ia sangat mencabar.
“Bayangkan, ketika itu ribut dan laut bergelora. Jadi, kerja-kerja tersebut sukar dilakukan namun ia tidak menghalang kami untuk meneruskannya,”katanya.
Dalam pada itu, Norhisham rasa berbangga kerana dapat mengambil bahagian dan tidak akan melupakan pengalaman yang berharga tersebut.
“Saya juga amat gembira kerana dapat bertemu dan berkongsi pengalaman dengan penyelam tempatan dan antarabangsa,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan pula berkata, penganjuran program tersebut bertujuan untuk menunjukkan tanda komitmen kepada alam sekitar.
“Hasil daripada program ini, lebih daripada tiga tan sampah berjaya dikumpul termasuk botol, beg plastik, tali pancing, jala dan tayar.
“Ini satu perkara yang membanggakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk memelihara kehidupan laut,” katanya.
Terdahulu, Rohana menerima sijil daripada wakil Guinness World Records, Kirsty Bennet.
Bennet memberitahu, Astro Kasih dan pasukan penyelam sukarelawannya telah mencatatkan rekod dunia baharu dalam kerja-kerja pembersihan dasar laut yang terpanjang.
“Program ini sekali gus dapat menambah kesedaran dan menggalakkan penglibatan orang ramai secara langsung dalam pemuliharaan marin,” katanya.

Harapan pesakit buah pinggang


KOLAGEN buah pinggang tikus mampu menghasilkan buah pinggang manusia.


GAMBAR yang dikeluarkan pada 12 April lalu menunjukkan perancah kolagen buah pinggang tikus selepas dipisahkan daripada sel-sel yang ada.
Kemudiannya, sel buah pinggang neonatal dan endotelial ditanam semula.
Ia bertujuan untuk menghasilkan buah pinggang buatan manusia yang mampu berfungsi seperti buah pinggang asal.
Seterusnya, ia dipindahkan kepada tikus untuk menapis sistem tubuh dan menjadi air kencing.
Ia bakal memberi harapan dalam bidang kejuruteraan bio terutamanya buah pinggang manusia sekali gus dapat mengurangkan atau menghapuskan keperluan pemindahan buah pinggang.

Iron Man hampir tumpas

MARVEL'S IRON MAN 3


PENGGEMAR siri komik Marvel Iron Man pastinya menanti-nantikan kemunculan filem aksi penuh mendebarkan Iron Man 3 pada minggu ini.
Filem francais ketiga lakonan mantap Robert Downey Jr. itu menyajikan lebih drama dan air mata berbanding filem terdahulu.
Mampukah Tony Stark melawan gerak hati yang sentiasa mempersoalkan kecanggihan teknologi yang diciptanya sehingga mengabaikan kesejagatan dunia? Saksikan Iron Man 3 di pawagam berhampiran.
Layar Perak turut membawa penonton menyaksikan adegan asmara antara Nora Danish dan Rusdi Ramli menerusi filem romantik Mencari Cinta yang telah mengundang kontroversi awal sebelum ditayangkan.
Turut mengisi slot menarik di pawagam pada minggu ini ialah himpunan filem pelbagai genre dari negara ikonik romantik, Perancis sempena Festival Filem Perancis.
Antara yang menarik perhatian ialah What’s In A Name, The Horseman On The Roof, Jet Lag, Popular, The Snows Of Kilimanjaro, The Chef dan A Screaming Man.
Mencari Cinta
Tarikh tayangan: 25 April 2013
Durasi: 1 jam 38 minit
Genre: Romantik
Pengarah: Shirin Khuzaimi
Pelakon: Nora Danish, Riezman Khuzaimi, Connie Ahmad
Sinopsis: Pada mulanya, Myra Tan Sri Johan akan berkahwin dengan Malek, lelaki pilihan sendiri tetapi akhirnya ditinggalkan oleh Malik yang mencintai orang lain. Kejadian itu membawa banyak masalah kepada Tan Sri Johan dan Puan Sri Mahani kerana semua persiapan sudah siap dan jemputan telah dihantar. Pada masa sama, seorang budak kampung bernama Razlan Ariffin yang taat dan sopan kepada ibu bapanya dan memiliki sebuah ladang, baru sahaja putus tunang dengan Mila yang ingin melanjutkan pelajarannya. Razlan menerima hakikat bahawa dia dan Mila sudah tidak mempunyai perasaan sayang. Nasib menemukan Razlan dengan Myra apabila kedua-dua belah keluarga merancang untuk menyatukan mereka berdua. Adakah Razlan yang dibesarkan oleh ibu bapa tradisional serasi dengan Myra yang merupakan anak orang kaya dengan gaya hidup moden? Bolehkah mereka jatuh cinta antara satu sama lain?
Marvel's Iron Man 3
Tarikh tayangan: 26 April 2013
Durasi: 2 jam 10 minit
Genre: Aksi, pengembaraan, sains fiksyen
Pengarah: Shane Black
Pelakon: Robert Downey Jr., Gwyneth Paltrow, Don Cheadle, Ben Kingsley, Guy Pearce, Rebecca Hall, James Badge Dale, Jon Favreau
Sinopsis: Susulan peristiwa yang berlaku daripada filem Iron Man 2, Tony Stark kini berdepan dengan musuh yang tidak mengenal erti putus asa. Apabila Tony mendapat tahu bahara dunia peribadinya telah dimusnahkan oleh musuh tersebut, dia mengambil keputusan untuk mencari petualang itu dan membalas dendam. Perjalanannya bagaimanapun, berdepan dengan ujian yang menguji kesabarannya. Tony akhirnya dibiarkan terselamat bersama alatan canggihnya, bergantung harap pada kepintaran dan nalurinya untuk mempertahankan individu yang berada di sampingnya. Ketika bertempur, Tony berdepan persoalan yang selama ini sering menghantui kehidupannya; adakah manusia mencipta sut berteknologi tinggi atau teknologi membina manusia?
The Snows Of Kilimanjaro
Tarikh tayangan:
25 April 2013
Durasi: 1 jam 57 minit
Genre: Romantik
Pengarah: Robert Guediguian
Pelakon: Ariane Ascaride, Jean-Pierre Darroussin, Gerard Meylan
Sinopsis: Walaupun kehilangan kerja, Michel hidup bahagia bersama Marie-Claire, anak-anak dan cucu-cucu. Mereka mempunyai kawan rapat dan berbangga dengan kesatuan serta perjuangan politik mereka. Kebahagiaan tersebut berakhir apabila mereka dirompak dan dipukul oleh dua perompak. Keadaan menjadi lebih teruk apabila mereka mendapati salah seorang daripada perompak tersebut merupakan rakan sekerja Michel yang telah dipecat.

Tuesday, April 23, 2013

Harap jodoh berpanjangan

QI sudah bersedia untuk berkahwin, sementara Nelydia menyerahkan segala ketentuan dan jodoh kepada Allah.


KEMESRAAN yang ditampilkan oleh pelakon Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen dan Qushairi Mohammed Razali atau Qi Razali semasa menjayakan acara Liga Juara Hot FM baru-baru ini seperti mengesahkan kedua-duanya sedang dilamun cinta.
Sebelum ini gambar mesra pasangan tersebut yang dimuat naik ke dalam laman sosial Instagram masing-masing menjadi tatapan peminat sehingga ramai yang mengandaikan sudah terjalin ikatan cinta antara mereka berdua.
Ketika diminta mengulas tentang status hubungan mereka sekarang ini, Qi dan Nelydia menyatakan bahawa mereka kini masih belum menjalinkan hubungan percintaan, sebaliknya hanya rapat sebagai seorang teman.
Menurut Qi, sebelum ini dia atau Nelydia tidak pernah membuat kenyataan yang mereka kini sedang bercinta. Bagaimanapun, mereka juga tidak menyembunyikan hubungan yang sekarang ini semakin erat dan dalam proses mengenali hati budi masing-masing.
"Sebelum ini kami tidak pernah membuat kenyataan tentang status hubungan kami. Ya, kami memang berkawan dan saya akui hubungan dengan Nelydia sekarang bertambah rapat. Saya boleh melabelkan hubungan kami kini berada dalam peringkat proses mengenali hati budi masing-masing," jelas Qi tanpa berselindung.
Qi bagaimanapun memberitahu dia tidak mempunyai jawapan apabila ada yang bertanya sudahkah dia melamar pelakon baharu tersebut sebagai kekasih. Sebaliknya, bekas pemain dram grup OAG ini berkata: "Saya tak pernah luahkan perasaan cinta kepadanya sehingga sekarang."
Diminta bercerita tentang detik awal perhubungan mereka, Qi memberitahu semuanya bermula apabila mereka sama-sama berlakon dalam drama Friday I'm In Love pada tahun lalu.
Ujarnya, selepas membintangi drama berkenaan, mereka mula menjalinkan hubungan sebagai teman biasa. Bagaimanapun, sejak empat bulan lalu, hubungan dia dengan Nelydia mula menjadi lebih rapat.
"Saya berasa cukup selesa sepanjang berkawan dengannya. Walaupun dia baru berusia 19 tahun, namun saya dapati Nelydia seorang gadis yang cukup matang dan berfikiran jauh. Dia juga seorang yang periang," ujarnya yang begitu menyenangi sikap Nelydia.
Ditanya tentang jarak usia mereka yang cukup berbeza iaitu sebanyak 16 tahun, Qi yang kini berusia 35 tahun memberitahu dia tidak mempunyai masalah dengan jurang perbezaan tersebut. Malah, katanya dalam nada serius, dia juga tidak menjadikan faktor usia sebagai halangan buat mereka menjalinkan hubungan dengan lebih rapat.
Terlanjur bercakap tentang jurang usia, Qi kemudian ditanya tentang perancangannya menamatkan zaman bujang kerana usianya yang sudah melewati angka 30-an.
Sambil tersenyum, pelakon yang cukup popular sebagai seorang pengacara itu memberitahu dia memang mempunyai hasrat untuk berkahwin memandangkan usianya yang bukan lagi muda.
QI dan Nelydia mengaku sudah mengenali keluarga masing-masing.


Ketika ditanya bila dia akan menamatkan zaman bujangnya memandangkan usia yang semakin bertambah, Qi menjelaskan perancangan untuk berkahwin memang ada, tetapi dia mahu mengenali Nelydia dengan lebih dalam lagi.
"Harus saya akui, sejujurnya, saya memang meletakkan harapan yang tinggi agar hubungan saya dan Nelydia menjadi lebih serius memandangkan kami juga sudah bertemu keluarga masing-masing. Bagaimanapun, itu semua terserah kepada jodoh," jelasnya.
Sementara itu, diminta mengulas tuduhan segelintir pihak yang menyatakan Nelydia menjadi punca kepada perpisahannya dengan Yuna sebelum ini, Qi menegaskan ia satu tuduhan yang tidak adil.
Tegas Qi: "Saya ingin jelaskan bahawa punca utama perpisahan saya dan Yuna adalah disebabkan jarak kami yang berjauhan. Ia tidak berkaitan langsung dengan Nelydia. Dia (Nelydia) bukan orang ketiga yang menyebabkan hubungan saya dan Yuna dahulu putus.
"Lagipun hubungan kami (Yuna) sudah tinggal sejarah dan rasanya tidak perlu lagi mengaitkan diri saya dan Yuna kerana masing-masing sudah mencari haluan hidup sendiri."
Tarik diri
Selain dikenali sebagai seorang pelakon, nama Qi turut menjadi sebutan ramai apabila dia menjadi pengacara sebuah program masakan iaitu Jalan Jalan Cari Makan (JJCM) yang disiarkan di TV3.
Bagaimanapun, Qi yang menarik diri daripada mengacarakan rancangan tersebut telah kembali semula bagi menggantikan tempat Iqram Dinzly selaku pengacara untuk musim terbaharu program tersebut.
Sebelum ini, Qi pernah membuat kenyataan bahawa tidak mahu lagi terbabit dalam program tersebut sehingga TV3 terpaksa memilih Iqram sebagai pengganti.
Menjelaskan keadaan, Qi mengaku dia memang pernah membuat kenyataan demikian. Bagaimanapun, kata Qi, ia hanya bersifat sementara dan apabila pihak produksi memerlukan khidmatnya semula sebagai pengacara program tersebut, dia bersetuju memandangkan tidak terikat dengan komitmen lain.
"Saya memang ada menyatakan tidak mahu lagi mengacara JJCM, tetapi bukanlah buat selama-lamanya. Lagipun saya pernah memberitahu kepada pihak produksi yang saya sedia kembali sekiranya khidmat saya diperlukan semula.
"Dahulu saya ambil keputusan untuk menarik diri kerana jadual kerjaya saya yang sangat padat dan mempunyai komitmen lain yang perlu diuruskan. Kini, saya kembali semula kerana melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh pihak produksi," ujarnya yang turut popular sebagai pengacara program Destinasi Bajet.
Jelas Qi, sebelum ini, sudah dua kali dia ditawarkan untuk kembali mengacara program JJCM, namun dia terpaksa mengambil masa yang cukup lama sebelum membuat keputusan bersetuju mengemudi semula program tersebut.
"Saya ambil keputusan dan bersetuju apabila mereka membuat tawaran kali ketiga, dengan syarat, saya diberi kelonggaran untuk melakukan pekerjaan yang lain," ujarnya yang mengikat kontrak selama dua musim bersama program berkenaan.
QI kembali mengacarakan program Jalan Jalan Cari Makan (JJCM) dengan syarat dia diberi kelonggaran untuk terbabit dengan projek lain.


Fokus kerjaya
Mengalih bicara kepada Nelydia, dia yang hadir serentak bersama Qi pada majlis tersebut melontarkan bicara yang sama tentang hubungannya dengan lelaki itu.
Kata Nelydia, hubungannya dengan Qi belum sampai kepada tahap bercinta. Malah, dia sebenarnya berasa kurang selesa apabila ramai pihak yang sering memperkatakan hubungan cintanya dengan Qi.
"Saya tidak berani untuk mengulas sejauh mana hubungan dengan Qi kerana apa sahaja boleh berlaku. Walaupun saya tak berani untuk melabelkan bentuk hubungan kami, namun saya tidak mahu menyembunyikan fakta bahawa hubungan yang terjalin antara kami sekarang ini bertambah erat.
"Kalau boleh saya tidak mahu orang mengenali saya kerana kisah cinta kerana pada masa ini saya perlu lebih fokus kepada kerjaya lakonan yang semakin berkembang dengan pelbagai tawaran yang diterima," ujarnya penuh sopan.
Bagaimanapun, pelakon yang semakin dikenali semenjak membintangi drama Setia Hujung Nyawa itu mengakui dia juga kini sedang mengenali hati budi Qi sebelum mengambil keputusan untuk menjalinkan hubungan yang serius.
Malah, Nelydia yang ditanya tentang kesediaannya berkahwin awal memandangkan Qi mengaku dia berharap agar hubungan mereka mampu melangkah ke tahap tersebut memberitahu, dia menyerahkan segala ketentuan takdir kepada Allah SWT.
"Saya tidak mempunyai masalah untuk berkahwin awal kerana soal jodoh ini kerja Tuhan. Bagaimanapun, sejujurnya, buat masa ini, jika berfikir secara realistik, untuk usia saya yang baru mencecah 19 tahun, saya 100 peratus belum bersedia untuk menjadi seorang isteri," katanya tanpa berselindung.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya berhubung perpisahan Qi dan Yuna, pelakon itu enggan ambil kisah kerana sedar dia langsung tidak bersalah.
Ujarnya, dia menganggap segala tuduhan tersebut dibuat oleh segelintir peminat yang masih tidak boleh menerima kenyataan bahawa hubungan Qi dan Yuna sudah berakhir.
Katanya: "Saya melihat isu ini sebagai perkara yang remeh dan saya tidak tertekan dengan tuduhan yang dilemparkan.
"Bagaimanapun, saya akui, perasaan saya akan terguris sekiranya ada mana-mana pihak yang mengeji dan mengutuk saya dengan cara yang melampau dan tidak beretika kerana saya juga memiliki perasaan."

Memey Suhaiza Dalam Proses Memakai Tudung

Memey sedang dalam proses untuk memakai tudung dan mahu ia berlaku semulajadi tanpa paksaan sesiapa.
PETALING JAYA: Pelakon Memey Suhaiza masih belum bersedia untuk memakai tudung walaupun tampil membuat kemunculan dengan imej berkenaan di khalayak pada Ahad lalu.
Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 25, berkata, buat masa ini dia dalam proses percubaan untuk memakai tudung dan mahu perubahan itu datang secara semula jadi tanpa paksaan sesiapa.
"Saya baru mula memakai tudung pada Ahad lalu tetapi belum sepenuhnya dan biarlah ia terjadi secara perlahan-lahan.
"Saya harap peminat mendoakan perkara yang baik untuk saya," jelasnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Memey mengulas mengenai gambarnya yang bertudung litup ketika hadir pada hari sukan anak tirinya, Mohamed Danish Hakim, 9 yang dimuat naik ke laman Instagram miliknya.
Turut hadir ke majlis berkenaan suaminya, Norman Hakim dan bekas isteri, Abby Abadi.
Selain Mohamad Danish Hakim Memey turut mempunyai dua orang lagi anak tiri iaitu Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim yang berusia tiga tahun.
Memey (kiri) tampil memakai tudung ketika hadir pada hari sukan anak tirinya, Mohd Danish Hakim bersama suaminya, Norman Hakim. Turut hadir bekas isteri Norman, Abby Abadi.
Dalam pada itu, Memey berkata, perasaan untuk mengenakan tudung tiba-tiba muncul pada hari tersebut walaupun pada mulanya dia hanya mengenakan topi bagi menutup rambutnya.
Malah kata Memey, Norman dan Abby juga turut menyokong dan memberi kata-kata semangat dengan hajatnya itu namun mereka tidak memaksanya untuk terus memakai tudung.
"Saya sudah bersiap-siap untuk keluar dan memakai topi tapi tiba-tiba tergerak hati untuk memakai tudung pada hari berkenaan.
"Suami suka namun dia memberi ruang kepada saya untuk buat keputusan sendiri kerana perkara ini bukan boleh dipaksa-paksa sebaliknya biarlah ia datang daripada kesedaran diri sendiri.
"Insya-Allah doakan yang terbaik buat diri saya supaya terus memakai tudung selepas ini," katanya.
Tambah Memey, dia sedar akan ada pihak menilai dan mempertikaikan tindakannya tidak memakai tudung secara kekal namun menganggap ia sebagai salah satu proses penghijrahannya ke arah kebaikan.
Dalam perkembangan lain, Memey yang telah kembali aktif berlakon berkata, dia berasa sangat berat hati apabila terpaksa meninggalkan anaknya, Mohamed Darwisz Hakim yang baru berusia dua bulan di bawah jagaan adiknya ketika keluar bekerja.
Memey memberitahu, dia kini mula faham naluri dan perasaan seorang ibu apabila terpaksa berpisah dengan anak walaupun hanya untuk seketika.
"Saya menangis masa hari pertama berpisah dengan anak tetapi terpaksa juga kerana tuntutan kerja. Selalunya saya akan pastikan bila semua kerja selesai, saya akan terus balik ke rumah untuk bertemu anak," jelasnya.
Memey sedang menjalani penggambaran drama bersiri Roda-Roda KL dan sebuah telefilem, Mencari Cinta.

Natasha Hudson Selamat Lahirkan Anak Perempuan

Natasha dan Carleed telah mendirikan rumah tangga pada April tahun lalu.
PETALING JAYA: Pelakon Natasha Hudson, 31, selamat melahirkan anak perempuan pada pukul 5.45 petang Isnin di Pusat Perubatan dan Bersalin UMRA, Shah Alam.
Natasha atau nama sebenarnya Natasha Liana Hudson menerusi laman sosial Instagram miliknya berkata, dia bersyukur proses kelahiran berjalan dengan lancar dan dia berserta anaknya itu berada dalam keadaan sihat.
"Alhamdulillah, saya telah dimasukkan ke wad bersalin pada pukul 4 petang hari ini (Isnin) dan melahirkan pada pukul 5.45 petang.
"Saya bersalin secara normal tanpa sebarang suntikan 'epidural' mahupun 'induction'. Kini kami berada dalam keadaan sihat dan sedang berehat," katanya.
Tambah Natasha dia juga mengucapkan terima kasih kepada keluarga serta peminat-peminatnya yang sentiasa mendoakan agar proses kelahirannya berjalan dengan baik.
Sementara itu, Natasha sebelum ini berkata, dia dan suaminya, Carleed Khaza telah pun memilih beberapa nama untuk bayi itu namun hanya akan menamakan anak mereka selepas tujuh hari kelahirannya.
Natasha dan Carleed atau nama sebenarnya Khalid Kamal, 33, berkahwin pada April tahun lalu di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Hasil perkahwinan terdahulu, Natasha mempunyai seorang anak perempuan, Nessa Helena yang kini berusia lima tahun.
Natasha bagaimanapun gagal dihubungi bagi mendapatkan perkembangan lanjut mengenai kelahiran anaknya itu.

Afiq Muiz Tertekan Dituduh Lupa Diri

Afiq mengakui tertekan dan sedih apabila ada pihak yang menuduhnya mula lupa diri.
PETALING JAYA: Pelakon Afiq Muiz tertekan dengan tuduhan mengatakan dia lupa diri selain sering menimbulkan masalah kepada pihak produksi di lokasi penggambaran.
Afiq, 20, berkata, perkara yang ditimbulkan itu tidak pernah berlaku dan dia memberi jaminan sikapnya tidak pernah berubah sebaliknya sama seperti mula-mula menyertai bidang lakonan.
"Saya tidak pernah kena tohmahan sebegini sebelum ini dan ia cukup membuatkan saya tertekan dan sedih kerana jujurnya saya tidak pernah bersikap sedemikian dengan sesiapa juga.
"Saya juga tidak pasti siapakah dalang yang cuba menjatuhkan saya dengan cerita mengarut seperti itu? Biarlah Tuhan sahaja yang membalas perbuatan mereka," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Sebuah akhbar mingguan pada Ahad lalu melaporkan Afiq dikatakan mula menimbulkan masalah sejak cerita dia bercinta dengan pelakon Eina Azman hebat diperkatakan.
Afiq didakwa mengikut sahaja telunjuk Eina sehinggakan menimbulkan masalah kepada pihak lain.
Bagaimanapun kata Afiq, dia tidak mahu terlalu memikirkan perkara tersebut tetapi ingin memberi fokus terhadap kerjaya yang diceburinya.
Dalam pada itu, mengulas tentang Eina, Afiq kecewa apabila nama pelakon itu turut dikaitkan dalam hal berkenaan.
"Tak habis-habis nak kaitkan saya dengan Eina. Dia tiada kena mengena dalam hal ini. Dia juga tertekan apabila namanya dikaitkan tambahan pula dia sendiri mempunyai juga masalah," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai keputusannya menarik diri daripada syarikat pengurusannya, Afiq berkata, dia mengambil keputusan itu kerana yakin dapat menguruskan karier lakonannya sendiri.
"Tidak timbul soal saya lupa diri atau sudah popular dan mula sombong cuma ia untuk kebaikan karier saya dan saya yakin dapat menguruskan sendiri kerjaya tanpa bantuan orang lain.
"Saya juga dapat belajar tentang selok-belok pengurusan dan tidak mahu terlalu bergantung kepada orang lain," jelasnya.

Dokumentari Palestin Afdlin

AFDLIN SHAUKI akan kembali ke Palestin buat kali kedua pada bulan hadapan untuk menyambung rakaman dokumentarinya tentang pergolakan dan kehidupan rakyat di sana.


PENDERITAAN yang dilalui oleh umat Islam di Palestin akibat kekejaman Israel bukan sahaja menarik perhatian orang ramai, malah turut mendapat simpati daripada golongan artis di negara ini.
Antara artis yang dilihat begitu bersemangat dalam berkempen untuk menyeru masyarakat memberikan bantuan yang sewajarnya adalah pengarah dan pelakon Afdlin Shauki.
Dia yang berkesempatan menjejakkan kaki ke bumi Gaza, Palestin pada akhir tahun lalu untuk menyaksikan sendiri keadaan yang sedang berlaku, ternyata ia telah membuka mata buat dirinya untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Selain itu, Afdlin juga turut bergiat aktif dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Aqsa Syarif yang bertindak untuk mengutip sumbangan yang akan disalurkan kepada rakyat Palestin.
Ikuti temu bual Kosmo! dengan Afdlin berhubung peranannya bersama NGO berkenaan setelah dia dilantik sebagai duta sejak bulan Disember tahun lalu.
Kosmo!: Apakah yang membuatkan Afdlin begitu bersemangat dalam kempen membantu rakyat Palestin?
AFDLIN: Sepanjang berada seminggu di sana pada tahun lalu, saya dapat melihat kemusnahan teruk yang berlaku akibat serangan yang dilakukan oleh tentera zionis.
Apa yang lebih memilukan lagi apabila ramai rakyat Palestin yang kehilangan nyawa, kanak-kanak menjadi yatim piatu dan ahli keluarga yang terpisah. Keadaan itu memberi kesan emosi yang cukup mendalam sehinggalah saya bertekad untuk membantu mereka.
Sepanjang menjadi duta kepada Aqsa Syarif, apakah peranan anda bersama NGO tersebut?
Sejak saya dilantik sebagai duta sejak Disember tahun lalu, banyak aktiviti yang dilakukan, terutamanya menyertai kempen untuk mengutip dana yang akan disalurkan kepada rakyat Palestin menerusi Aqsa Syarif. Selain itu, saya juga banyak mendapat undangan untuk memberi ucapan dalam kalangan penuntut universiti dan saya akan menceritakan semua pengalaman yang pernah saya lalui semasa mengunjungi Palestin.
Setelah kali pertama menjejakkan kaki ke Palestin, adakah anda merancang untuk ke sana lagi?
Perancangan itu memang ada dan kalau tiada halangan saya akan ke sana sekali lagi pada bulan hadapan. Tujuan saya kali ini adalah mahu melengkapkan penerbitan dokumentari yang sedang saya hasilkan tentang situasi yang berlaku di Palestin.
Adakah dokumentari tersebut akan dijual kepada stesen televisyen atau dihasilkan dalam bentuk cakera padat digital (DVD)?
Saya hanya merancang untuk memuat naik ia dalam laman YouTube kerana saya mahu orang ramai dapat menyaksikan sendiri suasana yang berlaku di sana. Namun, sekiranya ada mana-mana stesen televisyen yang berminat, saya sedia menjualnya. Kemudian hasil yang diterima daripada jualan dokumentari tersebut akan disumbangkan kepada Aqsa Syarif untuk diserahkan kepada rakyat Palestin.
Apakah projek-projek lain yang sedang anda usahakan sekarang ini?
Sebenarnya saya sedang merangka satu projek iaitu menghasilkan sebuah album khas tentang Palestin. Dalam album tersebut turut membabitkan penglibatan beberapa penyanyi yang lain seperti Datuk Sheila Majid, Faizal Tahir dan Adibah Noor. Setakat ini kesemua penyanyi yang terlibat sudah bersetuju dengan projek ini dan ia akan mula dilakukan pada bulan Jun. Buat masa sekarang kami sedang proses untuk mencipta lagu-lagu yang akan dimuatkan dalam album tersebut.
Di manakah anda akan mengundi pada pilihan raya umum (PRU) yang akan berlangsung pada 5 Mei ini?
Kalau tiada halangan saya akan mengundi di Parlimen Wangsa Maju. Cuma, saya berharap agar selepas PRU nanti semua rakyat Malaysia akan kembali bersatu tanpa mengira fahaman politik.

Bapa maut, anak cedera nahas

ANGGOTA bomba mengangkat Prichard yang parah sebelum disahkan maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kelombong, Kota Kinabalu semalam.


KOTA KINABALU - Seorang bapa maut manakala anaknya yang berusia tiga tahun cedera ringan selepas kenderaan yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori seberat 10 tan yang sedang membuat pusingan U di Jalan Kelombong dekat sini semalam.
Kemalangan pukul 11.30 pagi itu mengakibatkan Prichard Wong, 38, dari Kampung Kepayan Suok Vatu mati sebaik tiba di Hospital Queen Elizabeth akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, sebelum kejadian, kereta jenis Proton Saga yang dipandu Wong dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Inanam dari Luyang.
"Mangsa yang tidak sempat menekan brek merempuh sebuah lori yang secara tiba-tiba membuat pusingan U di Jalan Kelombong.
"Pasukan keselamatan mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengeluarkan Prichard yang tersepit," katanya di sini semalam.

TD pakai celoreng digital



AHMAD ZAHID pada majlis pemakaian pangkat bagi anggota tentera di Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Pakit, Sri Aman semalam.



SRI AMAN - Tentera Darat (TD) akan memperkenalkan reka bentuk pakaian tempur baharu yang bercorak digital selain memiliki ciri-ciri lebih praktikal dan selesa dipakai tidak lama lagi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, versi baharu pakaian seragam anggota TD tersebut mempunyai ciri-ciri seperti antinyamuk, tidak panas selain tidak luntur dan mempunyai jahitan kukuh.
Menurut beliau, cadangan pengenalan pakaian seragam baharu anggota TD itu telah dikemukakan kepada Parlimen sebelum Dewan Rakyat dibubarkan.
"Kementerian Pertahanan juga telah mengemukakan cadangan peruntukan celoreng digital ini kepada Kementerian Kewangan bagi tujuan kelulusan sebelum tender terbuka dikeluarkan.
"Kita jangka dalam tempoh enam bulan akan datang, pakaian tempur (celoreng digital) untuk semua anggota TD di seluruh negara akan diperkenalkan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis kesyukuran dan penghargaan kepada wira-wira Lahad Datu serta majlis pemakaian pangkat bagi anggota tentera di Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Pakit, Sri Aman di sini semalam.

Pokok redwood gergasi diklon untuk selamatkan Bumi


PERTUBUHAN Archangel Ancient Tree Archive berharap dapat menanam berjuta-juta pokok klon redwood purba di seluruh dunia.


COPEMISH, Michigan - Pokok redwood gergasi akan dipasarkan ke peringkat antarabangsa melalui usaha pengklonan bagi menggalakkan penanaman semula hutan dan menangani perubahan iklim.
Sejumlah anak pokok redwood setinggi 45 sentimeter itu dihasilkan di sebuah makmal di sini bagi tujuan tersebut.
Semua anak pokok itu dihasilkan melalui proses penyalinan genetik tiga batang pokok gergasi yang ditebang di utara California pada lebih tiga abad lalu.
Apa yang menakjubkan, beberapa pucuk baharu masih tumbuh daripada tunggul kayu pokok redwood tersebut. Ini termasuklah sebatang tunggul yang dikenali sebagai Fieldbrook Stump yang berdiameter, 10.7 meter.
Pokok redwood itu dipercayai berusia kira-kira 4,000 tahun.
Pokok tersebut adalah setinggi bangunan 40 tingkat sebelum ia ditebang.
"Ini adalah langkah pertama untuk penghasilan yang lebih banyak," kata Pengasas pertubuhan Archangel Ancient Tree Archive, David Milarch.
Pertubuhan Archangel Ancient Tree Archive yang merupakan sebuah pertubuhan tidak berdasarkan keuntungan telah menerajui projek tersebut dengan melakukan penanaman pokok redwood pada hari Bumi Sedunia di Australia, New Zealand, Britain, Kepulauan Ireland, Kanada, Jerman dan Amerika Syarikat.

Bieber didakwa abaikan datuk sendiri


JUSTIN BIEBER beraksi lincah semasa konsert Believe Tour di Arena Telenor, Norway pada 16 April lalu.


LOS ANGELES - Datuk kepada bintang pop remaja, Justin Bieber membidas cucunya itu kerana tidak pernah menghulurkan wang kepadanya, lapor portal hiburan Entertainmentwise semalam.
Lelaki itu, George Bieber dikatakan menetap bersama isterinya, Kathy di sebuah kabin usang yang mempunyai dua bilik tidur di Mitchell, Kanada.
George berkata, penyanyi lagu Boyfriend itu menyedari tentang keuzurannya tetapi dia tidak menghulurkan pertolongan.
"Kekayaan Bieber mungkin bernilai £70 juta (RM325.2 juta) tetapi kami tidak pernah menikmati wangnya," dedah George seperti dipetik akhbar The Sun.
Menurut lelaki berusia 61 tahun itu, satu-satunya hadiah yang diterima daripada Bieber, 19, ialah sebuah televisyen.
Sementara itu, jurucakap Bieber enggan memberi sebarang komen terhadap dakwaan George.
Namun, satu sumber yang rapat dengan Bieber memberitahu akhbar dalam talian MailOnline dakwaan tersebut tidak benar dan berniat jahat.

Ujian roket swasta berjaya


ROKET Antares milik firma Orbital Sciences Corp. dilancarkan di fasiliti NASA di Pulau Wallops kelmarin.


ATLANTIK, Virginia - Sebuah syarikat yang diupah oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) untuk menghantar bekalan perkakasan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) berjaya melancarkan sebuah roket kelmarin.
Pelancaran itu dilakukan bagi menguji keupayaan roket Antares untuk melakukan penghantaran kargo yang besar ke angkasa lepas.
Kira-kira 10 minit selepas pelancaran dilakukan dari Kepulauan Wallops di Pantai Timur Virginia, syarikat Orbital Sciences Corp. mengisytihar ujian tersebut telah berjaya.
Roket prototaip itu berjaya sampai ke orbit yang disasarkan.
Syarikat dari pinggir Dulles itu dan sebuah lagi firma AS, SpaceX dipilih untuk membawa bekalan kargo ke stesen angkasa, selepas NASA menamatkan program ulang-alik ke angkasa sejak tiga dekad lalu pada 2011.
Agensi angkasa lepas itu mula beralih kepada syarikat swasta untuk tugas penghantaran kerana ia mahu memberi tumpuan kepada misi menghantar manusia ke asteroid dan planet Marikh.

Oblivion ungguli carta pecah panggung


GAMBAR yang disiarkan studio Universal Pictures menunjukkan Olga Kurylenko (kiri) dan Tom Cruise dalam satu adegan filem Oblivion.


LOS ANGELES - Filem sains fiksyen, Oblivion mengungguli carta filem pecah panggung di Amerika Utara pada hujung minggu lalu apabila meraih kutipan tiket sekitar AS$38.2 juta (RM116.5 juta), menurut industri perfileman kelmarin.
Filem dibintangi aktor Tom Cruise itu yang mengisahkan keadaan bumi pada masa hadapan yang telah berubah atmosfera akibat ketamakan manusia.
Agensi yang mengumpul jumlah kutipan tiket, Exhibitor Relations berkata, Oblivion berjaya mengetepikan pendahulu carta minggu lepas, filem 42 di tempat kedua.
Ia memperoleh kutipan sebanyak AS$18 juta (RM54.9 juta).
Berada di tempat ketiga adalah filem animasi The Croods yang meraih kutipan sebanyak AS$9.5 juta (RM29 juta), diikuti siri kelima filem Scary Movie di tempat keempat dengan kutipan AS$6.3 juta (RM19.2 juta).
Sementara itu, filem aksi G.I. Joe: Retaliation berada di tempat kelima dengan meraih kutipan sebanyak AS$5.8 juta (RM17.7 juta).

Jasa klinik 24 jam sehari

WALAUPUN sudah berusia 67 tahun, Idzham masih gigih bekerja di kliniknya.


"ANAK-ANAK kalau sakit tidak kira masa. Klinik 24 jam memudahkan saya mendapatkan rawatan pada bila-bila masa, siang ataupun malam."
Begitulah kata Farina Jamaluddin, 45, yang merupakan salah seorang pelanggan Klinik Idzham ketika ditemui Kosmo! di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ibu kepada lima anak itu bukan sekadar mendapatkan rawatan untuk penyakit seperti demam, batuk atau selesema, malah servis berkhatan untuk anak lelakinya.
Melihat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, timbul persoalan siapakah gerangan pemilik Klinik Idzham yang kini mempunyai 10 buah klinik sekitar Lembah Klang, kesemuanya beroperasi 24 jam sehari.
Suka duka
Kosmo! berjaya menjejak pengasas Klinik Idzham iaitu Dr. Md. Idzham Ibrahim, 67, lantas berkongsi cerita suka duka di sebalik kejayaan yang diraih pada hari ini.
Kejayaan tersebut bermula apabila beliau mengambil keputusan 'bersara' setelah berkhidmat lebih 10 tahun di hospital kerajaan.
Pada November 1983, ketika berusia 38 tahun, Idzham berjaya membuka klinik pertama di Taman Melawati. Usia tersebut baginya agak lewat untuk menceburi bidang perniagaan, namun bak kata pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Dengan bantuan tiga jururawat, beliau mengerah segala kudrat dan masa di klinik yang merupakan klinik pertama beroperasi selama 24 jam di Taman Melawati.
"Pada tiga tahun terawal hanya saya seorang doktor yang bertugas. Setiap masa saya berada di klinik dan hanya berehat atau tidur apabila tiada pelanggan.
"Ketika itu pada waktu siang, saya dibantu pekerja, manakala pada waktu malam saya dibantu oleh isteri. Waktu malam juga masih ada pelanggan terutamanya warga emas yang menghadapi masalah asma. Memberi rawatan kepada pesakit asma merupakan salah satu sebab saya membuka klinik 24 jam di Taman Melawati.
"Kesungguhan bekerja dahulu, jika dikenangkan pada hari ini saya tidak tahu di mana datangnya semua kudrat itu. Apa yang pasti, semangat saya kuat untuk memberi khidmat dan bantuan kepada para pesakit," kata bapa kepada empat anak tersebut.
Bercerita mengenai modal membuka klinik tersebut, beliau cukup terhutang budi kepada SME Bank (dahulu dikenali sebagai Bank Pembangunan) kerana memberikan pinjaman sekali gus impiannya memiliki klinik sendiri menjadi nyata.
Untuk membuka klinik kosnya sangat besar dan beliau memerlukan kira-kira RM200,000 pada waktu tersebut.
Bagaimanapun, selain faktor wang, Idzham cukup bertuah apabila isterinya, Che An Nik Omar, 65, banyak membantu dan memberi dorongan.
Pada masa yang sama, saudaranya Datuk Syed Manshor Syed Mahmood, pengasas Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. banyak menghulurkan bantuan terutamanya pada awal pembukaan Klinik Idzham.

BEROPERASI 24 jam sehari memudahkan orang ramai mendapatkan rawatan di Klinik Idzham.


"Saya bersyukur kerana Syed Manshor membantu saya menemuduga jururawat, malah membelikan perabot klinik. Beliau juga menasihatkan saya jika hendak berjaya, perlu membuka lebih banyak klinik kerana sebuah klinik tidak mencukupi," katanya yang sehingga kini masih menawarkan khidmat selama empat jam lima hari seminggu di klinik.
Gimnastik dan teater
Menyingkap kembali kisah pada zaman kanak-kanaknya, Idzham merupakan seorang yang aktif dalam sukan dan juga banyak menghabiskan masa dengan membaca buku. Antara buku-buku kegemarannya ialah Perry Mason karya Erle Stanley Gardner.
Bola sepak merupakan sukan yang digemarinya, malah ketika di tingkatan empat, beliau terpilih mewakili sekolah untuk bertanding di peringkat negeri, Ketika itu beliau bermain di posisi penyerang.
Bukan itu sahaja, siapa menyangka beliau turut menyertai pasukan gimnastik sekolah serta berlakon drama ketika di tingkatan enam.
Akibat terlalu aktif dalam aktiviti sukan, guru-guru telah menegur dan menasihatinya agar menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Nasihat tersebut nyata berbekas di hatinya menyebabkan beliau mula tekun menelaah buku.
"Pada zaman sekolah, cita-cita saya hendak menjadi juruterbang atau peguam, namun hasrat tersebut dihalang oleh bapa yang mahu saya menjadi seorang doktor. Bapa saya merupakan seorang guru manakala ibu seorang surirumah.
"Selepas tamat tingkatan enam saya mulai berminat meneruskan pengajian dalam bidang perubatan lantas India menjadi pilihan.
"Ini kerana yuran dan kos pengajian di negara tersebut murah apatah lagi kesemua perbelanjaan di sana atas biaya keluarga tanpa sebarang penajaan," katanya.
Cabaran di India
Pada tahun 1966, untuk melanjutkan pengajian di India, Idzham terpaksa menaiki kapal laut seorang diri dari Pulau Pinang ke Madras, India. Perjalanan tersebut memakan masa selama seminggu. Pada peringkat awal menaiki kapal laut memang menyeronokkan namun hari kedua beliau mabuk laut dan tidak lalu makan sehingga badan menjadi terlalu lemah.
"Pengalaman tersebut masih segar dalam ingatan saya sehingga hari ini. Dari Madras saya menaiki kereta api menuju universiti yang terletak di Bombay.
"Tiga tahun awal pengajian, saya terpaksa mengikat perut dan makanan harian saya merupakan capati dan kuah dal. Itulah menu untuk sarapan, makan tengah hari dan malam.
"Pada tahun 1969, saya mendapat biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) berjumlah RM200 sebulan. Sejak itu merasa jugalah makan ayam tandoori," kata bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Iskandar dan Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah itu.

IDZHAM memeriksa seorang pesakit yang datang ke kliniknya.


Nama timangan
Sewaktu dalam kandungan, ibunya berhasrat memberikan nama Yusuf kerana wajah Nabi Yusuf yang kacak tetapi bapa saudaranya mendaftarkan nama Md. Idzham Ibrahim.
Ketika berusia setahun setengah, badan Idzham diserang kudis. Ibunya merasakan nama tersebut kurang sesuai dan memanggilnya dengan gelaran Yusuf.
"Sehingga kini nama saya dalam keluarga melekat sebagai Abang Cop," ujarnya tersenyum.
Dalam kesibukan kerjaya, Idzham tetap meluangkan masa untuk bersantai. Beliau merupakan peminat kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.
Antara lagu yang diminatinya termasuk Jerat Percintaan, malah beliau mempunyai semua koleksi album penyanyi tersebut.
Tidak cukup dengan itu, beliau juga sering menonton persembahan penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang itu, malah sanggup membelanjakan sejumlah wang menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza di Albert Hall, London.
"Ketika itu, salah seorang anak saya belajar di London dan saya pergi melawatnya. Pada masa sama, saya dan ahli keluarga mengambil kesempatan menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza di Albert Hall," katanya yang juga merupakan penyokong pasukan bola sepak, Liverpool.
Dalam pada itu, seorang pelanggannya, Maliki Mat Din, 37, yang tinggal di Wangsa Maju turut berpuas hati dengan perkhidmatan doktor-doktor di Klinik Idzham.
Dia yang telah menjadi pelanggan tetap sejak tahun 2004 menyukai sikap para doktor bertugas yang berterus-terang tentang penyakit dihidapnya.
"Perkhidmatan doktor di sini cukup memuaskan, mereka akan berterus terang tentang penyakit termasuk pernah meminta saya melakukan x-ray di hospital terlebih dulu sebelum rawatan lanjut dijalankan olehnya.
"Selain itu, klinik yang beroperasi 24 jam memudahkan saya untuk mendapatkan rawatan pada bila-bila masa," katanya yang bekerja di Indah Water Konsertium. Klinik Idzham merupakan panel syarikat tempatnya bekerja.