Sunday, April 21, 2013

Buluh untuk kibar bendera



SELEPAS pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan penamaan calon oleh parti-parti politik Sabtu lalu, gendang perang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin kuat dipalu.
Ketika ini, setiap calon dan ahli parti masing-masing begitu sibuk berkempen untuk meraih undi. Ada yang turun padang berceramah, ada yang mengedarkan risalah, ada yang berkunjung ke rumah dan ada juga mempromosikan calon menerusi internet.
Namun, salah satu kempen konvensional yang masih dilihat begitu relevan pada hari ini adalah dengan menggunakan bendera atau sepanduk.
Lihat sahaja di mana-mana baik di tengah bandar, pekan, ceruk kampung dan desa, hampir di setiap pelosok tempat begitu meriah dengan kibaran bendera parti masing-masing.
Dalam keasyikan melihat pelbagai ragam perang bendera oleh parti-parti politik, mungkin ramai yang tertanya-tanya dari mana mereka memperoleh begitu banyak batang buluh. Hampir kebanyakan bendera yang dipasang baik di atas pokok, di tiang elektrik, jejantas jalan raya atau bangunan diikat pada batang buluh.
Hampir dua hari mencari jawapan, akhirnya minggu lalu penulis menemui jawapannya. Bagi bendera di sekitar Lembah Klang, kebanyakan buluh diperoleh daripada masyarakat Orang Asli berasal dari Hulu Langat dan Gombak.
Kandau Dan, 38, merupakan antara salah seorang Orang Asli yang boleh mengukir senyuman lebar ketika ini kerana dia dan rakan sekampungnya sudah menerima lebih 10,000 tempahan buluh sepanjang kempen PRU kali ini.
Menurut anak jati Kuala Pansoon, Hulu Langat itu, pekerjaan tersebut bukanlah satu tugas baharu memandangkan penduduk Orang Asli baik lelaki atau wanita melakukan pekerjaan tersebut sebagai pekerjaan harian. Dia sendiri sudah 18 tahun bekerja mencari buluh di hutan.
Kebanyakan penduduk Orang Asli sepertinya bergantung kepada hasil hutan seperti mencari buluh, pucuk paku, pisang, buluh, petai dan melakukan kerja-kerja kampung sebagai sumber pendapatan.
Mengulas lanjut mengenai pekerjaan tersebut, bapa kepada sembilan orang anak itu memberitahu, pada kebiasaannya, dia akan masuk ke hutan bersama beberapa rakan sekampungnya.

PEMANDANGAN di sebatang jalan raya di Kampung Pandan, Kuala Lumpur yang dipenuhi dengan ratusan bendera parti politik menggunakan buluh.


Lazimnya, rutin itu dilakukan sekerap dua hingga tiga kali seminggu bergantung kepada permintaan.
"Jika, mereka membuat tempahan dalam 1,000 batang buluh, kami akan mendapatkan bekalan itu dalam tempoh tiga hari sahaja," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun, mereka perlu membuat bayaran pendahuluan dan separuh daripada tempahan akan disalurkan terlebih dulu.
Ditanya mengenai harga, sebatang buluh dijual pada harga antara RM1 hingga RM2.
Kadar harga itu bergantung kepada ruasnya yang panjang. Misalnya, 8 kaki (2 meter) dijual pada harga RM1.50 manakala 12 kaki (3.6 meter) pula berharga RM2.
Begitupun, sifat buluh yang digunakan untuk pilihan raya seharusnya lurus dan tidak tebal. Ia bagi mengelakkan bendera yang diikat pada buluh menjadi kendur. Selain itu, bendera-bendera yang diikat pada buluh yang lurus tidak mudah jatuh walaupun ditiup angin kencang.
Namun lain pula bagi bendera gergasi yang memerlukan buluh yang lebih besar.
Cabaran
Menyentuh mengenai cabaran masuk ke hutan mencari buluh, Kandau mengakui, miang buluh adalah antara yang tidak dapat dielakkan.
"Kalau dari segi selok-belok dalam hutan memang kami tidak mempunyai masalah sebab kami membesar dalam hutan sejak kecil lagi.
"Namun, miang buluh memang susah nak elak sebab ia akan melekat juga pada tubuh biarpun saya mengenakan baju lengan panjang dan seluar panjang.
"Miang buluh akan menyebabkan saya gatal-gatal seluruh tubuh seharian," luahnya.
Kandau menambah, terdapat juga risiko-risiko lain seperti dahan reput serta terjumpa haiwan liar atau berbisa seperti babi hutan, lipan dan ular.
Kehadiran haiwan-haiwan itu membuatkan pencari buluh sentiasa berhati-hati.
"Apa yang penting, jika masuk ke dalam hutan, kami tidak boleh mengganggu haiwan itu kerana itu adalah habitat semula jadinya," kata Kandau sambil memberitahu belum ada sebarang kejadian yang tidak diingini menimpanya.
Permintaan luar biasa
Anak kedua daripada lima adik-beradik itu memberitahu, dia dan rakan-rakannya dapat meraih pendapatan agak lumayan ekoran permintaan tinggi buluh pada musim pilihan raya.
"Saya mula mendapat tempahan sejak sebulan lalu termasuk permintaan dari Kedah," tuturnya yang dapat meraih pendapatan lebih RM1,000 selepas dibahagikan bersama rakan-rakan.
Dalam pada itu, permintaan buluh melonjak kerana bekalan kayu tidak dapat menampung selain ia tidak menepati ciri untuk memasang bendera.
"Jika memasang bendera menggunakan kayu, ia tidak cukup tinggi berbanding buluh. Jadi, kini parti-parti yang bertanding menempah buluh.

SAMSURIE (kiri) membawa keluar batang-batang buluh yang telah ditebang di hutan Kuang bersama seorang rakan.


Bukan tugas mudah
Muhammad Samsurie Melan, 74, dari Kampung Kuang, Rawang, Selangor pula sudah hampir 10 tahun meraih rezeki melalui pekerjaan mencari batang buluh.
Dia mengakui tugas itu agak sukar kerana menuntut ketelitian, kesabaran dan kemahiran yang tinggi.
Selain kesukaran meredah hutan tebal di sekitar Kuang, kerja-kerja menebang pokok buluh juga bukan mudah memandangkan pokok buluh tumbuh terlalu rapat.
Sambil berjalan menyusuri hutan dengan berbekalkan sebilah parang, Samsurie menerangkan buluh jenis galah sesuai digunakan untuk menggantung bendera kerana ia lurus.
Ujarnya lagi, dari segi logistik dia yang biasanya melakukan tugas itu dengan seorang lagi rakan akan memotong dan mengumpulkan dulu buluh pada sebelah pagi, sebelum mengangkat buluh keluar dari hutan pada sebelah petang.
Biasanya mereka akan menggunakan kudrat tenaga sendiri untuk mengangkat keluar batang buluh itu.
"Kami angkat demi sedikit, biasanya 30 hingga 50 batang buluh kami pikul di atas bahu untuk dibawa keluar dari hutan," katanya sambil menyeka peluh yang bercucuran di mukanya.
Tempah 30,000 buluh
Sementara itu, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Abdul Shukur Idrus, berkata, pihaknya mendapat bekalan buluh daripada masyarakat Orang Asli dan penduduk setempat di kawasan itu. Caj setiap buluh yang dikenakan antara RM1.50 sehingga RM2.
Menurut Abdul Shukur, ini pertama kali pihaknya menggunakan buluh untuk menggantung bendera parti.
Sebelum ini, pihaknya menggunakan batang penyapu kerana budaya buluh kurang popular berbanding di negeri-negeri utara.
Namun hari ini, kos sebatang kayu penyapu sahaja boleh mencecah RM5. Lagipun, sifat batang penyapu yang pendek tidak dapat menggantung bendera setinggi kayu buluh.
Ujar Abdul Shukur lagi, pada mulanya, jentera parti menempah 10,000 batang buluh, namun tidak mencukupi untuk kempen di Parlimen Selayang yang turut merangkumi DUN Kuang.
"Jadi, kami menambah lagi sebanyak 20,000 batang buluh kerana ia juga diberi kepada masyarakat setempat untuk memudahkan mereka mengikat bendera," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment