Tuesday, April 23, 2013

Definisi seorang lelaki metroseksual


LELAKI metroseksual tidak segan untuk merias kuku.


SOALAN: SAYA sedang membuat kaji selidik tentang perkembangan istilah-istilah yang digunakan dalam dunia lelaki kontemporari sejak seabad dahulu. Antara yang menarik perhatian saya adalah istilah metroseksual. Ia bukan istilah baharu, tetapi diharapkan saudara sudi menjelaskan serba sedikit latar belakang istilah itu.- HAINAN, Universiti Malaya
JAWAPAN:
Istilah metroseksual diambil daripada perkataan Yunani iaitu metropolis bermaksud ibu kota dan digabungkan dengan perkataan seksual. Metroseksual begitu unik sehingga dipilih sebagai Perkataan Tahunan 2003 oleh Persatuan Dialek Amerika.
Terdapat lebih daripada 70 definisi yang memberikan interpretasi makna metroseksual. Istilah tersebut dikatakan muncul pertama kalinya pada tahun 1994. Ia diperkenalkan oleh Mark Simpson, seorang penulis fesyen.
Gelaran metroseksual wujud bagi mewakili lelaki urban yang muncul dalam masyarakat kita. Kecenderungan kaum lelaki untuk lebih berpenampilan daripada aspek gaya kini telah dianggap normal berbanding tiga dekad dahulu sehingga memaksa para ilmuan mencipta gelaran untuk golongan sebegitu.
Perbezaan paling ketara adalah dari segi mereka membelanjakan wang. Lelaki lain mungkin lebih gemar membeli alat kelengkapan rumah, kereta mahupun barangan elektronik.
Lelaki metroseksual pula lebih suka menghabiskan masa di butik pakaian dan aksesori selain salun kecantikan yang secara konvensionalnya merupakan tempat kegemaran golongan wanita.
Antara ciri jejaka metroseksual adalah mereka berpenampilan menarik terutamanya gaya dan peribadi diri. Jejaka metroseksual juga tidak terbatas pada satu-satu usia.
Secara ringkasnya, lelaki metroseksual adalah lelaki yang sangat mementingkan kecantikan dan penampilan diri. Kesemuanya harus terbaik untuk dirinya. Mereka dilihat begitu mengambil berat dan menyayangi diri sendiri dan menyenangi gaya hidup metropolitan.
Lelaki metroseksual kebiasaannya terdiri daripada kelompok anak muda yang tinggal di ibu kota dan menjawat jawatan tinggi, hidup mewah, mencintai fesyen, melakukan perawatan wajah dan tubuh badan.
Wajah mereka dirias rapi dan disapu bedak asas lengkap dengan pelembap bibir. Mereka juga sering digambarkan mempunyai kulit mulus dan lembut hasil daripada penggunaan produk kecantikan berjenama.
Mungkin kecenderungan lelaki metroseksual untuk tampil sebegitu akibat desakan kehidupan kontemporari yang saban hari sentiasa memerlukan perubahan dan pembaharuan dalam aliran fesyen serta produk kecantikan.

BARANGAN mewah dan berjenama sering menjadi pilihan utama lelaki metroseksual.


Metroseksual juga sering dikaitkan dengan barangan atau pakaian berjenama kerana lelaki metroseksual selalunya terdiri daripada golongan profesional muda yang begitu menggemari pakaian label antarabangsa.
Pertambahan golongan profesional muda yang berpendapatan tinggi juga menyebabkan syarikat produk kecantikan dan pakaian berlumba-lumba mengeluarkan barangan yang mampu memenuhi cita rasa golongan itu. Kini ramai jejaka urban metroseksual di Malaysia tidak lagi malu menonjolkan penampilan mereka kepada umum.
Namun perlu diingat, perubahan gaya hidup metroseksual bukanlah secara anatomi tetapi menerusi sikap dan perilaku. Jangan salah anggap, metroseksual bukanlah perlambangan seksualiti seseorang.
Ia sekadar usaha luar sedar seseorang lelaki untuk menempatkan diri mereka sebagai individu yang perlu diberi layanan istimewa. Bagi saya, kita perlu menghormati hak orang lain untuk melakukan apa yang terbaik untuk diri mereka tanpa sebarang prasangka dan iri hati.
Jika berkemampuan, saya rasa tidak salah untuk sesiapa sahaja berusaha memperbaiki penampilan diri agar lebih berkeyakinan selain dapat menyerlahkan lagi keperibadian mereka.

No comments:

Post a Comment