Tuesday, April 23, 2013

Anjakan industri busana lelaki



MINAT dalam dunia fesyen sejak kecil dijadikan pemangkin bagi Mohamad Fairuz Ramdan Mohd. Yussuf Izzudin, 32, untuk mengukir namanya selaku pereka fesyen di persada seni tanah air hari ini.
Permulaan sederhana yang dilalui lelaki kelahiran Edinburgh, Scotland itu tidak dijangka berubah menjadi satu laluan berbeza, jauh daripada apa yang dimahukan dalam hidupnya.
“Saya tidak pernah terfikir untuk menyertai industri fesyen negara kerana ketika itu, saya masih membantu ibu saya menguruskan perniagaan pakaian yang diusahakannya.
“Peluang saya terbuka selepas sebuah butik menggunakan koleksi rekaan saya untuk dikeluarkan dalam sebuah akhbar tempatan. Bermula daripada situ, saya dirapati individu daripada Persatuan Pereka Bumiputra (BDA) dan saya bersetuju menyertai mereka.
“Penglibatan saya dalam BDA pada awalnya tidak begitu menyerlah sehinggalah diberi peluang menyertai Malaysia International Fashion Alliance (MIFA) 2011,” singkap Fairuz ketika ditemui Stailo di kediamannya di Subang Jaya, Selangor.
Kemunculan sulung Fairuz di pentas fesyen berprestij negara itu banyak menimbulkan keraguan penganalisis fesyen terhadap keupayaan Fairuz untuk mencipta nama dalam industri.
“Mereka menganggap saya gila kerana berani memaparkan koleksi sut lelaki berona terang dan berwarna-warni. Ramai yang merasakan pakaian saya tidak sesuai untuk pasaran Malaysia.
“Namun, selepas memasuki tahun 2012, fesyen sut berwarna jejaka mula meledak di peringkat antarabangsa. Ia memberi impak besar kepada penerimaan masyarakat di Malaysia terhadap pakaian berkonsep moden ini.
“Orang perlu tahu, sebelum saya mengeluarkan sesuatu rekaan, saya akan membuat penyelidikan dan membaca ramalan fesyen untuk musim akan datang.
“Ramalan itu sekadar memberi idea kepada pereka tentang warna, corak dan potongan yang bakal dimainkan kebanyakan rumah fesyen dunia. Namun bagaimana rekaan itu hendak dijelmakan terletak sepenuhnya kepada seseorang pereka,” jelas Fairuz.

SUT rona terang menghiasi kebanyakan koleksi rekaan Fairuz Ramdan.


Industri lelaki
Secara amnya, negara memang ketandusan pereka fesyen yang memberi tumpuan penuh kepada busana lelaki. Nama sedia ada seperti Bon Zainal diakui sudah berada dalam kelas tersendiri dan legasinya perlu disambung pelapis baharu.
Fairuz ternyata muncul tepat pada masanya. Malah, dia sendiri mendapat bimbingan dan dorongan daripada Bon Zainal yang juga Presiden BDA bermula daripada penglibatan awalnya dalam industri sehingga ke hari ini.
Tambah Fairuz, masyarakat Malaysia memang masih kurang pendedahan tentang fesyen lelaki. Meskipun beberapa rekaan Fairuz dilihat terlalu ‘menjerit’ dan berada di luar logik kebudayaan tempatan, ia sebenarnya mampu direalisasikan sekiranya dilihat daripada sudut positif.
Buktinya, busana jejaka ciptaan Fairuz di bawah jenama Fairuz Ramdan Bespoke mula dicari golongan selebriti. Pelakon, Fauzi Nawawi merupakan artis pertama yang menyarungkan sut berwarna Fairuz dan trend itu ‘menjangkiti’ pula aktor lelaki yang lain.
Tahun ini menyaksikan kebolehan Fairuz menyambar beberapa nama besar dalam industri seni tanah air. Kolaborasi mantap antara Fairuz dan pelakon berbakat besar, Bront Palare menjadi tarikan fesyen yang masih dibicarakan pemerhati fesyen tempatan.
“Bront Palare, Awal Ashaari dan Karl Shafek merupakan wajah rasmi Fairuz Ramdan untuk tahun ini. Ketiga-tiga mereka mempunyai pengikut tersendiri dan mampu menggalas rekaan saya dengan jayanya,” ulas Fairuz.
Meskipun dibidas dengan komen-komen negatif terhadap rekaannya, Fairuz kekal dengan prinsip bahawa fesyen perlu berevolusi selari peredaran zaman.
Ujarnya: “Apabila orang bercakap tentang busana lelaki khususnya sut formal, secara automatik, rekaan berciri konservatif terus terbayang. Golongan pemikir sebegini turut melihat busana moden lelaki sebagai sesuatu yang metroseksual dan tidak maskulin.
“Pada hakikatnya, pakaian lelaki zaman ini direka untuk semua jejaka tanpa mengambil kira latar belakang ataupun karakter. Koleksi saya misalnya, masih mengekalkan nilai maskulin walaupun menitikberatkan nilai eksentrik.”
PROSES melakar rekaan dilakukan Fairuz Ramdan sekali dalam seminggu.


Signatur tartan
Begitupun, ujar Fairuz, rekaannya masih mengekalkan ciri konservatif dari segi teknikal. Pemodenan busananya lebih terselah pada perincian moden, potongan dan pemilihan kolar.
Material seperti kapas tetra, kombinasi bulu biri-biri dan linen menjadi kegemaran Fairuz bagi menghasilkan rekaannya. Pemilihan tiga fabrik tersebut adalah atas dasar Malaysia yang tergolong dalam negara beriklim tropika.
Seperti pereka fesyen lain, Fairuz juga mempunyai signatur tersendiri. Cetakan tartan menghiasi hampir setiap busana ciptaan Fairuz. Katanya: “Tartan merupakan corak berpetak yang mempunyai perbezaan kelebaran dan warna.
“Ia diinspirasikan daripada pakaian orang di Scotland. Saya aplikasikan cetakan ini bagi membentuk garisan geometri atau simetri.”
Menyentuh perihal matlamat dalam kerjayanya, Fairuz jujur menyatakan, dia tidak meletakkan sebarang sasaran yang ingin dicapai dalam tempoh tertentu. Dia mahu terus berkarya dan mahu meneroka pasaran antarabangsa.
Tambah Fairuz, hasrat untuk mengembangkan labelnya ke luar negara masih dalam perancangan. Ibu kota London sudah tentu menjadi fokus Fairuz untuk merealisasikan impiannya.

No comments:

Post a Comment