Sunday, April 21, 2013

Lagos dibanjiri jenama antarabangsa


SEBUAH keluarga di Lagos menikmati piza Domino's, sebuah lagi rangkaian makanan segera dari AS.


SUASANA sebuah restoran makanan segera kelihatan begitu meriah dengan para pelayan mengalunkan lagu nyanyian Aretha Franklin beramai-ramai. Sambil menyanyi mereka turut membuat burger dan minuman susu kocak.
Lagu Ritchie Valens kemudian dimainkan menerusi kotak muzik yang terdapat di dalam restoran francais dari Amerika Syarikat (AS) itu.
Begitulah suasana restoran makanan segera, Jonny Rockets yang terletak di bandar Lagos, Nigeria. Jonny Rockets adalah antara beberapa buah restoran antarabangsa yang mula bertapak di negara Benua Afrika itu.
Sebelum ini syarikat asing masih teragak-agak untuk melabur disebabkan cabaran logistik, gangguan bekalan elektrik dan masalah rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan.
Suka berbelanja
Namun hari ini, berlaku perubahan apabila bilangan golongan pertengahan di negara tersebut semakin meningkat. Keadaan itu telah menarik minat para pelabur asing untuk membuka restoran atau gedung pakaian.
Warga Nigeria yang mempunyai sikap suka berbelanja juga telah membantu perkembangan perniagaan dan ekonomi negara tersebut.
"Ia sangat mengujakan apabila restoran ini menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat. Walaupun, kebanyakan mereka dihimpit masalah kemiskinan, tetapi mereka tetap mengunjungi restoran itu bagi merasai sendiri pengalaman baharu tersebut," kata Christoper Nahman, Pengarah Urusan Johnny Rockets.
Menurut kajian yang dibuat oleh Biro Statistik Negara tersebut pada tahun 2012, daripada 160 juta penduduk Nigeria, lebih daripada 60 peratus cuma mempunyai pendapatan AS$1 (RM3.10) sehari.
Setelah beberapa dekad, hanya segelintir daripada rakyat negara itu terlibat dalam industri minyak dan kerajaan negara tersebut sering dikecam kerana amalan rasuah yang menyekat kepada kekayaan negara.
Pada penghujung era pemerintahan ketenteraan pada 1999, ekonomi Nigeria mula terbuka secara perlahan-lahan. Sehubungan itu, lebih banyak kerjaya profesional berkembang dalam bidang perbankan dan pasaran telefon bimbit turut meningkat.
Situasi itu telah meningkatkan pertumbuhan ekonomi kelompok pertengahan di Nigeria. Menurut kajian yang dijalankan oleh firma guaman, Renaissance Capital pada bulan September 2011, terdapat suku daripada keseluruhan populasi negara itu memperoleh pendapatan kasar sekitar RM1,493 hingga RM2,000 sebulan.
Pembukaan pasar raya
Semakin lama semakin banyak perniagaan bertapak di Nigeria.
Banyak firma perniagaan dari Afrika Selatan cuba memasuki pasaran Nigeria untuk membuka kedai di pusat beli-belah baharu di bandar Lagos.
Gedung beli-belah Wallmart dari Bentonville, Arkansas yang dimiliki Massmart Holdings Ltd. turut bertapak di Nigeria.
Selain itu, rangkaian pasar raya bagi barangan runcit, Shoprite Holdings Ltd. turut membuka perniagaan di bandar tersebut. Sasarannya, bagi menarik lebih ramai warga Nigeria yang berpendapatan tinggi untuk berbelanja di pasar raya mereka.

MASIH dibelenggu kemiskinan, kebanyakan warga Nigeria hanya mengunjungi restoran antarabangsa untuk meraikan hari penting sahaja.


Menu selera tempatan
Selain itu, rangkaian restoran dari AS seperti Kentucky Fried Chicken turut berkembang pesat di Nigeria.
Baru-baru ini, jenama pizza dari Michigan, AS, Domino's Pizza Inc., membuka restoran francaisnya di dua lokasi berbeza di bandar Lagos.
Pada masa sama, pengusaha aiskrim daripada jenama Cold Stone Creamery dari Scottsdale, Arizona tidak ketinggalan menceburi pasaran negara beriklim panas itu.
Restoran Johnny Rockets pula terletak di hab perniagaan Pulau Victoria dan merentasi kawasan hotel tumpuan pelancong asing dan orang kenamaan. Kebanyakan pelanggan teruja menyaksikan pekerja menari lagu Hippy Hippy Shake dan pelbagai lagu klasik lain setiap jam.
Menu-menu di restoran itu seperti burger, kentang goreng dan gegelang bawang goreng diberikan sentuhan rasa tambahan iaitu dipadankan dengan nasi jollof Nigeria. Nasi yang rasanya pedas itu merupakan makanan ruji di negara berkenaan.
Namun, apa yang pasti makanan dari restoran rangkaian antarabangsa bukanlah murah.
Malah, sebiji burger boleh mencecah NGN3,500 (RM67) atau NGN1,800 (RM35) dari dapur restoran berkenaan.
"Sudah tentu berkunjung ke restoran makanan segera bukanlah rutin harian kami. Hanya sekali-sekala sahaja kami ke sana seperti untuk menyambut hari penting dalam hidup kami," kata Mimi Ade-Odiachi yang merupakan seorang pereka landskap taman.

No comments:

Post a Comment