Sunday, April 21, 2013

Alam dan wanita karya Sarbani

SARBANI dengan tiga lukisannya yang bertemakan wanita dan alam semula jadi.


MEMANDANG tiga buah lukisan karya Sarbani Bhattacharya, 37, ia kelihatan seperti sangat kontemporari melalui garisan tubuh figura yang tidak realistik dan penggunaan warna yang terang.
Selain itu, gaya memberus Sarbani juga membentuk paten berkala seperti unsur-unsur semula jadi jika diteliti secara dekat dan terperinci.
Paling jelas, ketiga-tiga lukisannya mempunyai unsur-unsur alam semula jadi yang digabungkan bersama figura wanita yang mempunyai sifat keibuan.
Akui Sarbani, pada peringkat awal melukis, dia sukar mengintegrasi kedua-dua unsur terbabit. Selama ini, Sarbani akan melukis salah satu sahaja tanpa mencantumkannya.
Namun, ketika ditemui di Pameran Seni Flutters and Rhythms di Galeri Sutra, Kuala Lumpur, lancar dia menceritakan inspirasi karyanya iaitu alam semula jadi dan memupuk.
Pameran tersebut turut disertai empat pelukis dari Singapura iaitu P. Gnana, Kalidass J, Sangeeta Charan, Sagarika Sen dan Siva Perakas.
Motif bunga-bungaan
Tumbuh-tumbuhan bukan sahaja menguasai karya Sarbani malah melihat kain sari yang dipakainya, motif bunga-bungaan pelbagai warna kelihatan melatari kain putih itu.
Anggota badan wanita termasuk wajah menjadi subjek penting dalam setiap lukisannya, setiap satu lukisan cuba menyelongkar isi dan kualiti seorang wanita.
Cantik, penyayang, lemah lembut, ayu dan tenang cuba ditonjolkan untuk setiap lukisan dan pada masa yang sama disatukan dengan gaya alam seperti dedaun, sinaran cahaya dan bunga-bungaan.
Penggunaan warna yang terang seperti merah, biru, kuning dan jingga menjadikan sifat kewanitaan yang diketengahkan lebih menonjol.
“Saya sukakan alam semula jadi, saya bersuara untuknya,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur.
Wanita berasal dari India itu kini menetap di Singapura.
Gaya lukisan dan inspirasi Sarbani bukan datang secara tiba-tiba, tetapi selepas melalui pelbagai pengalaman hidup dan perubahan fasa kehidupannya.
Dia mula dapat menggabungkan kedua-dua unsur tersebut selepas mendapat anak perempuan pada tahun 2004 apabila Sarbani mula merasai sendiri perasaan seorang ibu.
Tiga buah lukisannya yang menggunakan medium akrilik di atas kanvas ialah Lullaby, Submerged Elightenment-II dan Eternal Bliss.
Perkataan yang digunakan sebagai tajuk menggambarkan ketenangan dan kedamaian yang dikaitkan dengan alam semula jadi serta sifat wanita seperti dilukis.
“Melukis merupakan meditasi bagi diri saya,” ungkapnya yang mula melukis sejak kanak-kanak dan mendapat pendidikan formal dalam bidang seni pada tahun 1995.
“Jiwa anda adalah sumber anda,” katanya lagi yang menekankan supaya mempunyai hati yang jernih kerana setiap perlakuan dan tindak-tanduk berasaskan jiwa manusia.

No comments:

Post a Comment