Wednesday, April 24, 2013

Takut Malu, Hafiz Suip Enggan Kongsi Kisah Peribadi

Hafiz mengakui belum bersedia untuk berumah tangga dan mahu memberi fokus kepada kerjayanya terlebih dahulu.
PETALING JAYA: Penyanyi lagu Awan Nano, Hafiz enggan lagi bercakap soal peribadi terutama kisah percintaannya kepada umum kerana bimbang ia akan dijadikan isu sehingga menyebabkan namanya tercalar.
Pemilik nama penuh Mohd Hafiz Mohd Suip, 23, ini berkata, walaupun bergelar selebriti, sebagai manusia biasa yang inginkan privasi dia berhak untuk menyimpan perkara itu tanpa perlu dikongsi dengan orang lain.
"Bukan semua perkara saya boleh kongsi dengan peminat dan biarlah cerita mengenai peribadi dan hubungan cinta saya simpan buat diri sendiri.
"Jika terjadi apa-apa pada hubungan tersebut seperti putus di tengah jalan tidaklah saya malu nanti," katanya kepada mStar Online.
Hafiz sebelum ini mengakui dia sedang menjalinkan hubungan dengan seorang wanita yang dikenali hampir setahun lalu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai jodoh, Hafiz berkata, masih terlalu awal untuknya bercakap mengenai perkara itu kerana faktor usianya yang masih muda.
Malah dia mahu mengukuhkan terlebih dahulu kerjayanya sebagai penyanyi bagi memastikan masa depannya lebih terjamin.
"Saya ingin mengumpul kesenangan terlebih dahulu dan barulah boleh bercakap mengenai kahwin kerana tanggungjawab sebagai seorang suami adalah besar dan bukan mudah.
"Tambahan pula usia saya masih muda dan tidak terlalu memikirkan soal kahwin buat masa ini," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Hafiz berkata, dia kini sedang sibuk membuat latihan bagi konsert pertamanya di Dewan Filharmonik Petronas dekat sini pada 1 Jun depan.
Jelas Hafiz, dia bakal menyampaikan sembilan buah lagu pada malam tersebut dan mengakui gementar untuk membuat persembahan di pentas berprestij itu.
"Ini adalah peluang keemasan saya sebagai seorang penyanyi. Walaupun gementar tetapi pada masa sama saya cukup teruja dan terharu diberi peluang untuk membuat persembahan di sana," katanya.

FDAM Mohon Maaf, Akan Pulangkan Wang Aaron Aziz

Aaron Aziz
PETALING JAYA: Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM) akan memulangkan semula lebihan wang daripada pembayaran RM1,500 yang dibuat oleh pelakon Aaron Aziz untuk menjadi ahli persatuan itu selepas timbul salah faham berhubung taraf kerakyatannya di negara ini.
Presiden FDAM, Othman Hafsham, 72, berkata, jumlah amaun itu sepatutnya dibayar bagi mereka yang bukan warganegara Malaysia.
"Saya mewakili pihak FDAM memohon maaf atas kesilapan mengenai hal pembayaran yuran Aaron. Orang yang menjaga hal-hal itu mungkin tidak peka dengan status Aaron yang kini sudah mendapat taraf penduduk tetap di negara ini.
"Diharap Aaron dapat hadir ke pejabat kami untuk menerima semula baki wang yuran berkenaan.
"Bagaimanapun, saya cuba menghubungi Aaron sejak pagi tadi (Rabu), tetapi tidak berjawab," katanya yang dihubungi mStar Online pada Rabu.
Othman Hafsham
Beritahu Othman, sepatutnya, bagi warganegara Malaysia, yuran ahli yang dikenakan hanyalah RM300 sahaja manakala yang bukan warganegara perlu membayar RM1,000.
Menerusi laman Instagram milik Aaron pada Selasa lalu, dia memaparkan sekeping resit pembayaran selepas mendaftar sebagai ahli persatuan tersebut yang dilakukan pada 14 April lalu.
Aaron juga meluahkan rasa tidak puas hati dengan bayaran yang tinggi dikenakan terhadapnya.
Malah, Aaron juga terkilan apabila pihak FDAM tidak meneliti statusnya sebagai penduduk tetap negara ini selain menuduhnya sebagai pekerja asing yang tidak tahu peraturan selepas mendapat peluang mengarah filem Romeo Kota, terbitan Excellent Pictures tanpa menjadi ahli persatuan itu.
Resit pembayaran yang dibuat Aaron kepada FDAM.
Terdahulu, pihak FDAM mendakwa Aaron belum mendaftar sebagai ahli sewaktu memulakan pengarahannya sehingga menyebabkan pihak penguat kuasa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan FDAM menyerbu lokasi penggambaran filem itu pada 3 April lalu.
Sementara itu, penerbit Excellent Picture iaitu Ahmad Idham mengakui tentang kedudukan Aaron yang tidak menjadi ahli persatuan berkenaan ketika menawarkannya mengarah filem berkenaan.
Kata Idham, dia turut memohon maaf kerana tidak peka dengan perkara tersebut kerana beranggapan Aaron hanya boleh mendaftar selepas dia diberi peluang mengarah sebuah filem bagi tujuan rujukan pihak FDAM.
"Memang saya tahu Aaron bukan ahli FDAM sebelum ini dan saya mengambil dia sebagai pengarah atas penilaian saya terhadapnya yang begitu efisien dalam kerja.
Ahmad Idham
"Lagipun biasanya sebelum ini pihak FDAM mahu melihat profil pengarah yang mana mereka haruslah berpengalaman mengarahkan sekurang-kurangnya sebuah karya sebelum diberi kad ahli FDAM. .
"Maka saya menganggap Aaron juga akan mendaftar selepas menyiapkan penggambaran Romeo Kota. Tapi tak sangka pula ketika di set penggambaran, kami diserbu tanpa sebarang notis," ujarnya.
Tambah Idham, dia berharap perkara seperti ini tidak akan berulang lagi kerana ia sedikit sebanyak boleh mengganggu kerja-kerja produksi dan meminta mana-mana pihak persatuan seni negara ini peka sebelum bertindak.

Amy Search: Kalau itu pilihan Nabila


Nabila Huda
Nabila Huda dan Nas-T.
“Kalau betul Nas-T adalah pilihan Nabila, saya berharap hubungan mereka kekal dan mereka saling memahami diri masing-masing,” kata Amy Search.

Mengulas lanjut mengenai kisah percintaan anak perempuannya itu, legenda Rock tanah air ini memberitahu, pada awalnya dia sendiri tidak tahu mengenai hubungan tersebut.

“Saya memang tidak tahu mengenai perkara ini dan saya dapat tahu pun setelah membaca akhbar sebab Nabila tidak pernah cerita pada saya. Saya juga memang tidak kenal Nas-T.

“Tapi sebagai bapa, apa yang saya harapkan, Nabila bahagia dan dapat mengekalkan hubungan itu dengan baik,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah Anugerah Bintang Popular, kelmarin.

Tambah Amy, walaupun kisah percintaan Nabila sudah tersebar luas, namun sehingga hari ini dia masih belum diperkenalkan dengan kekasih anak perempuannya itu.

“Saya belum pernah bertemu dengan Nas-T. Tapi saya tidak kisah asalkan mereka berdua bahagia.

“Manusia tidak ada yang sempurna dan mereka perlu mengenali hati budi dan saling menerima buruk baik diri masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Amy turut melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Nabila yang memenangi anugerah Pelakon Drama Wanita Popular.

“Sudah tentu kami sekeluarga gembira dan bangga dengan pencapaiannya. Saya yakin kemenangan itu adalah hasil usaha kerasnya.

“Dia pandai berdikari dan sebelum ini juga dia tidak pernah menggunakan tiket ‘anak Amy Search’ untuk mencapai kejayaan dalam bidang ini ,”katanya.

Yassin peserta pertama tersingkir


Yassin Yahya
Yassin Yahya
Baru sahaja dua hari berada di pentas Masterchef Selebriti Malaysia 2 (MSM 2), bekas ahli kumpulan Senario, Yassin terpaksa akur menjadi peserta pertama yang disingkirkan.

Yassin atau nama sebenarnya, Yassin Yahya, 35, akui kecewa dengan penyingkiran tersebut.

“Memang saya sedih bila menjadi peserta pertama yang tersingkir, lagipun ia baru sahaja bermula dan masih banyak perkara yang ingin saya belajar.

“Sebelum ini, memang saya tak pandai memasak, setakat masak air, maggi dan nasi, boleh la.. Tapi, sejak menyertai MSM 2, saya belajar sesuatu yang baru.

“Insya-ALL AH, selepas ini, saya akan terus memasak dan cuba memperbaiki kelemahan serta mempelajari teknik yang betul,” katanya mendapat sokongan keluarga dan isteri untuk menyertai MSM 2.

Yassin disingkirkan daripada dapur MSM 2 setelah hidangannya, Ikan Goreng Berat Sebelah, gagal memikat hati juri.

Bagaimanapun, Yassin yang mewakili Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia berjaya menyumbangkan dana sebanyak RM500.

Mizz Nina harap hamil tahun ini


Mizz Nina harap hamil tahun ini
Mizz Nina dan suaminya, Noh Salleh. 
SETELAH mendirikan rumah tangga hampir dua tahun, pasangan selebriti, Mizz Nina dan Noh Salleh masih belum dikurniakan cahaya mata.

Akui merancang keluarga demi perjalanannya karier seninya sebelum ini, kini Mizz Nina sudah bersedia untuk mempunyai anak sendiri.

Menurutnya, jika ditakdirkan hamil pada tahun ini, dia menerima.

“Ya. Saya memang dah rancang. Sebenarnya ia dah ‘start’. Kalau ia berlaku, ia berlaku. Saya terima.

“Harap-harap saya hamil tahun ini dan melahirkan tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian Online, ketika ditemui pada sidang media konsert sulungnya.

Mizz Nina bernikah dengan Noh Salleh pada 1 Julai 2011.

Dalam perkembangan lain, Mizz Nina juga berharap untuk mengadakan persembahan di Korea Selatan bagi mempromosikan lagu kolaborasinya dengan penyanyi, Jay Park, Around The World.

“Kami lancarkan video di YouTube. Setakat ini, peminat K-Pop memberi sokongan dan bercakap tentang lagu itu di media.

“Saya harap, saya berpeluang untuk mengadakan ‘trip’ ke Korea dalam masa terdekat untuk mempromosikan lagu itu. Mungkin pemasaran dan promosi akan dilakukan selepas konsert,” katanya.

Ekoran lagu Around The World yang dilancarkan baru-baru ini, Mizz Nina dikatakan menggunakan suara mesin.

Namun, penyanyi berusia 33 tahun ini menafikan perkara tersebut.

“Saya rasa orang yang bercakap negatif ini, mereka tak puas hati dengan kehidupan mereka. Jadi, mereka memilih untuk komen terhadap orang lain.

“Bercakap tentang suara mesin ini, mereka tak faham, apa muzik itu? Mana ada mesin. Sekarang semuanya dah canggih... ada banyak ‘filter’, sama ada kita nak suara itu nampak original atau tidak,” katanya.

Tambahnya, “jadi, untuk orang yang buat komen negatif pada saya , saya hindari mereka. Mereka terlalu ‘judgemental’. Saya memang tak mengambil komen-komen itu dengan serius.”

Mizz Nina bakal mengadakan konsert pertamanya, Around The World Concert pada 18 Mei ini dengan penampilan khas, Jay Park, Noh Salleh dan Teh Tarik Crew.

Norman suka lihat Memey bertudung


NORMAN mahu Memey memakai tudung kerana Allah, bukan atas desakan sesiapa.


PADA hari Ahad lalu pelakon Memey Suhaiza membuat kemunculan di khalayak ramai dengan tampil bertudung litup ketika menghadiri acara hari sukan anak tirinya, Mohamed Danish Hakim.
Beberapa keping gambarnya bertudung turut dimuat naik ke laman Instagram miliknya, sehingga ramai peminat yang menyangka bahawa isteri kepada pelakon Norman Hakim itu sudah mengikut jejak langkah beberapa artis yang kini sudah bertudung.
Bagaimanapun, Memey yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini memberitahu, dia tidak mahu peminat salah sangka apabila menganggap dirinya kini sudah bertudung.
Sebaliknya, pelakon yang baru dikurniakan cahaya mata, Mohamed Darwisz Hakim itu menyatakan sehingga kini dia masih lagi belum bertudung sepenuhnya, tetapi masih dalam proses percubaan untuk memakai tudung.
Kosmo!: Bagaimanakah kehidupan Memey selepas bergelar ibu?
MEMEY: Ia merupakan satu perasaan yang sukar untuk diperkatakan, tetapi apabila dikurniakan cahaya mata sudah tentu ia menjadi pelengkap kepada kehidupan saya sebagai seorang isteri.
Setelah tamat berpantang pada awal April lalu, adakah anda sudah kembali berlakon?
Buat masa ini saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Roda-Roda KL. Namun begitu, setiap kali ke lokasi penggambaran, saya selalu berasa berat hati untuk berpisah seketika dengan anak kerana terlalu rindu. Sebenarnya, selepas melahirkan anak sudah banyak tawaran berlakon yang diterima, tetapi dalam tempoh sekarang ini saya terima tawaran yang memerlukan saya berlakon di sekitar Kuala Lumpur sahaja.
Bagaimanakah pula dengan anak apabila anda menjalani penggambaran?
Tanggungjawab menjaga anak saya serahkan segalanya kepada adik saya yang selama ini memang bekerja dengan saya. Cuma, saya telah memintanya supaya menjaga Darwisz di rumah sahaja.
Adakah suami tidak kisah apabila anda kembali aktif berlakon setelah memiliki cahaya mata?
Saya sangat beruntung kerana suami tidak pernah menghalang saya aktif berlakon semula. Dia cukup memahami minat saya yang mendalam terhadap dunia lakonan, namun dia tetap meletakkan syarat supaya kepentingan keluarga perlu lebih diutamakan berbanding kerjaya.
Baru-baru ini terdapat beberapa keping gambar yang memaparkan anda bertudung sewaktu muncul di khalayak ramai. Adakah sekarang ini anda sudah bertudung sepenuhnya?
Ketika ini saya masih lagi belum bertudung dan lakonan saya dalam Roda-Roda KL juga tidak menampilkan saya memakai tudung. Apa yang boleh dikatakan, saya masih lagi dalam proses belajar lagi. Kalau boleh saya tidak mahu peminat keliru dengan penampilan saya itu dan begitu mengharapkan doa daripada peminat agar pintu hati saya terbuka sepenuhnya untuk bertudung.
Apakah pandangan suami apabila melihat anda sudah mula berjinak-jinak untuk memakai tudung?
Sudah tentu suami merupakan orang yang paling gembira dan memberitahu dia memang suka lihat saya bertudung. Bagaimanapun, dia tidak memaksa saya dan berpesan supaya setiap perubahan yang dilakukannya itu mestilah niat kerana Allah tanpa paksaan daripada sesiapa.

Wanita Kelantan serbu kedai emas


ORANG ramai mengunjungi sebuah kedai emas untuk membeli barangan kemas di Jalan Post Office Lama, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Di sebalik kehangatan kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di sini, orang ramai khususnya kaum wanita Kelantan tidak melepaskan peluang membeli barangan kemas berikutan harga emas turun sejak minggu lepas.
Harga emas jenis 916 yang menjadi pilihan ramai turun kepada RM380 bagi 2.7 gram berbanding RM420 untuk 2.7 gram sebelumnya.
Harga emas di pasaran dunia yang dicatatkan semalam ialah RM140 satu gram.
Tinjauan di sekitar bandar Kota Bharu seawal pukul 9 pagi semalam mendapati pengunjung mula membanjiri kedai-kedai emas, malah ada yang sanggup beratur sebelum waktu perniagaan bermula.
Pekerja sebuah kedai emas di Jalan Post Office Lama di sini, Wan Ahmad Salihan Wan Mohd Zaki berkata, orang ramai mula menyerbu kedai milik keluarganya itu selepas berita harga emas turun disiarkan akhbar pada minggu lepas.
Susulan itu, Wan Ahmad Salihan berkata, operasi kedai itu yang ditutup pukul 5.30 petang setiap hari kini dilanjutkan sehingga pukul 7 malam.
Antara yang menjadi pilihan pelanggan ialah rantai, gelang dan loket selain barangan kemas yang ditempah mengikut kehendak mereka.