Sunday, April 21, 2013

Buku resipi pesakit dialisis

BUKU Resipi Pesakit Dialisis 2013 dihasilkan HKL untuk panduan orang ramai.


"MAKAN kena pantang. Tak boleh makan nasi biasa, yang berkanji dan tinggi karbohidrat. Tak boleh juga ambil banyak makanan manis, tinggi kandungan protein dan garam. Jangan sampai terlebih ayam, ikan, daging, hati dan soya. Semuanya kena hati-hati kalau nak makan. Kalau dah semua tak boleh, habis saya nak makan apa?"
Demikian antara keluhan yang sering ditimbulkan oleh kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan dialisis kerana berdepan dengan masalah ginjal.
Malah, kebanyakan pesakit mengakui mereka lebih ditekankan mengenai apa yang tidak boleh dimakan berbanding apa yang boleh dimakan sehingga mendatangkan stres.
Seharusnya panduan pemakanan yang sihat boleh membawa keseronokan dalam kehidupan pesakit dialisis untuk diamalkan dalam pengurusan pemakanan dan diet mereka.
Atas keprihatinan itu, baru-baru ini Hospital Kuala Lumpur (HKL) melancarkan buku Resipi Pesakit Dialisis 2013 khusus untuk pesakit yang menjalani rawatan dialisis.
Ramai abai pengurusan makanan
"Isi kandungan buku ini menganjurkan cara pemakanan dan gaya hidup sihat. Diharapkan dengan pelancaran buku ini, ia dapat membantu meningkatkan pemahaman dan kepentingan pengurusan pemakanan kepada pesakit dialisis", kata Ketua Jabatan Nefrologi HKL dan Ketua Perkhidmatan Nefrologi bagi Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Ghazali Ahmad.
Di Malaysia, penyakit buah pinggang kronik adalah masalah kesihatan serius yang memerlukan rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang agar pesakit boleh meneruskan kehidupan.
Menurut statistik terbaharu HKL, negara mempunyai 25,688 pesakit dialisis dan 1,884 penerima buah pinggang berdaftar pada tahun 2011.
Kebanyakan orang menganggap hanya rawatan dialisis dan pemindahan buah pinggang adalah jalan terbaik bagi mengawal penyakit itu sehingga sanggup mengabaikan peranan penting pengurusan pemakanan.
PESAKIT buah pinggang perlu menjalani rawatan dialisis untuk membersihkan darah. - Gambar hiasan


Pelbagai resipi
Menurut Pakar Pemakanan HKL, Datin Nor Sharita Mohd. Saad, buku resipi itu bukan sahaja memaparkan pelbagai jenis hidangan yang boleh dicuba oleh pesakit, malah turut menyatakan jumlah dan sukatan yang bersesuaian untuk satu hidangan empat orang.
Turut disediakan adalah panduan sukatan yang betul mengikut sukatan peralatan yang sedia ada di dapur biasa.
Jika panduan itu diikuti dengan betul, pesakit dialisis akan dapat menikmati masakan seperti asam pedas, daging masak halia, ayam goreng berempah, nasi goreng Cina, asam laksa, cendol, samosa dan karipap.
"Resipi yang tersedia dalam buku ini adalah hasil yang diubah suai berdasarkan komen pesakit dan pegawai perubatan setelah sesi uji rasa dijalankan," jelas Nor Sharita.
Resipi yang dimuatkan mematuhi jumlah garam (sodium) yang dibenarkan. Selain turut mengandungi analisis makanan yang menunjukkan jumlah sebenar kandungan kalori, protein, potasium dan fostat dalam makanan itu.
Malah, cara penyediaannya mudah dan boleh dimasak sama ada oleh pesakit atau pun penjaga.
Buku resipi dialisis berbahasa Melayu yang diterbitkan oleh Jabatan Nefrologi dan Jabatan Dietetik dan Sajian HKL dengan usahasama AbbVie Sdn. Bhd. itu juga bakal diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin. Ia juga boleh dimuat turun di www.hkl.gov.my

No comments:

Post a Comment