Wednesday, April 3, 2013

Kontroversi Harlem Shake Daphne Iking

DAPHNE kini bergelar deejay kelab malam.


IMPAK negatif. Itu realiti yang kini dihadapi pengacara dan pelakon kelahiran Sabah, Daphne Iking, 34, ekoran pembabitan dirinya dalam video tarian Harlem Shake dengan mengenakan pakaian seksi yang dimuat naik ke laman sosial YouTube.
Harlem Shake merupakan tarian yang kini menjadi fenomena seluruh dunia menerusi YouTube selepas gelombang fenomena Gangnam Style.
Video berdurasi 30 saat yang dirakamkan di ruang tamu rumah Daphne itu turut disertai suami, dua orang anak dan pembantu rumahnya.
Namun impak dirinya yang berpakaian seksi itu menyebabkan timbul kata-kata kurang enak menerusi internet yang menyifatkan video tersebut sebagai kurang sopan.
Malah, ada yang melemparkan kritikan bahawa Daphne cuba mempermain-mainkan agama.
Memberikan reaksi terhadap tohmahan tersebut, pemilik nama Dahlia Daphne Eleanor ini mengakui dia sebenarnya tidak menyangka video yang dirakamkan atas dasar mencuba fungsi alat perakam video baharu yang dibelinya itu mendapat perhatian ramai.
Daphne menegaskan dia tidak berniat untuk melakukan aksi tidak sopan.
Selain video Harlem Shake yang dirakamkan di kediamannya, sebuah lagi video miliknya melibatkan kru produksi rancangan Bella turut dimuat naik di laman sosial YouTube.
Berikut sedutan temu bual Kosmo! bersama Daphne yang ditemui pada majlis ramah mesra bersama media sempena pelancaran pakaian wanita Baajookoo di Restoran Serai, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kosmo!: Video Harlem Shake yang menampilkan Daphne dan ahli keluarga anda di YouTube mendapat pelbagai komen positif dan negatif daripada penonton dan barangkali peminat anda. Apakah komen Daphne?
DAPHNE: Saya tidak tahu-menahu sebenarnya apakah sebenarnya Harlem Shake pada mulanya sehinggalah suami saya membeli alat perakam video baharu dan meminta kami menari sesuka hati seperti mana video Harlem Shake lain dalam YouTube. Selepas melakukan rakaman seharian, suami saya memuat naik video tersebut ke dalam YouTube dan tidak sangka pula ia mendapat respons dan komen menerusi e-mel.
Tidakkah anda sedar bahawa tarian Harlem Shake mungkin memperlihatkan aksi kurang sopan dan bakal mengundang reaksi negatif penonton?
Niat kami sekeluarga adalah untuk kebaikan dan tidak terniat langsung untuk melakukan aksi yang tidak sopan. Video itu sekadar suka-suka memandangkan kami sekeluarga memang gila-gila. Lagipun, saya yang dibesarkan di kampung dan sudah biasa melakukan aksi sewel yang saya rasakan itu normal.

AKSI Daphne dan keluarga serta pembantu rumahnya dalam video tarian Harlem Shake yang dirakam di kediamannya.


Komen Daphne apabila dikatakan cuba mempermainkan agama?
Saya telah membaca komen-komen yang ditulis mengenai video itu dan saya faham sekiranya ada sesetengah pihak yang tidak liberal dan melihat saya mempermain-mainkan agama. Niat saya betul tapi orang nampak lain.
Selain itu, Daphne dikhabarkan kini menjadi deejay di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur. Adakah dakwaan itu benar?
Saya suka muzik R&B dan tiada sesiapa yang paksa saya untuk menjadi deejay dan memutarkan lagu di kelab malam. Cara ini juga sebenarnya saluran untuk saya mengekspresikan cita rasa saya terhadap muzik.
Menjadi seorang ibu kepada dua orang cahaya mata, menguruskan keluarga dan pada masa yang sama memastikan karier berjalan lancar.
Bagaimanakah cara anda menyelaraskan semua perkara itu?
Saya mempunyai sebuah ruang pejabat di rumah saya jadi tidak ada istilah bersalah untuk meninggalkan anak-anak saya bersama pembantu rumah. Lagipun, pengurus saya adalah suami saya sendiri, maka saya juga boleh memantau aktivitinya sekali gus (ketawa). Saya diberikan prioriti bersama kapasiti karier yang sentiasa bersama saya dan perkahwinan kedua saya kali ini sebenarnya memberikan saya peluang baharu untuk meletakkan lebih usaha ke arah menjaga keharmonian berumah tangga.

No comments:

Post a Comment